Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 5, 2015

PALESTIN: OBAMA TAK MUNGKIN BERTINDAK LUAR BIASA


chandra muzaffar


Shah Alam - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tidak mungkin bertindak sama seperti bekas Presiden AS, John F Kennedy dalam ‘membebaskan’ Palestin dari cengkaman zionis Israel.

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr Chandra Muzaffar berkata, keyakinan itu berasaskan situasi di mana Obama sedar kuasa yang bersandar di belakang Israel.

“Situasi antara Kennedy dan Obama hari ini jauh berbeza. Halangan utama AS adalah hubungan dengan Israel dan pengaruh kumpulan-kumpulan tertentu yang menyokong Israel termasuk dari AS sendiri seperti kumpulan zionis Kristian. Jumlahnya sangat besar dan merupakan kumpulan pendesak yang begitu berpengaruh di AS termasuk politik dan masa depan seorang presiden.

“Itu sebabnya saya tak nampak Obama boleh melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menolong rakyat Palestin. Tak mungkin (Obama selamatkan Palestin) kerana dia tahu tentang pengaruh dan kuasa yang ada pada kumpulan-kumpulan ini serta dia tahu peranan Israel dalam konteks Asia Barat dan Afrika Utara,” katanya kepada Sinar Online.

Semalam, aktivis kemanusiaan yang juga seorang doktor perubatan dari Norway berkata, Obama berkuasa menghentikan kesengsaraan di bumi Palestin jika beliau bertindak sama seperti Kennedy di Berlin dulu.

Pada 26 Jun 1963, Kennedy telah memberi ucapan ‘I am a Berliner’ di Barat Berlin dan ucapan itu dilihat sebagai satu titik perubahan kepada Perang Dingin ketika itu.

Sementara itu, Chandra berkata, matlamat Israel ke atas negara-negara di Asia Barat seiring dengan matlamat AS yang tidak mahu negara Arab dan negara Islam menjadi kuat.

“Lihat pada krisis Asia Barat yang dah beberapa tahun berlaku dan berapa ramai yang terkorban. Kemudian perang di beberapa negara Iraq, Syria, Lubnan dan Libya. Huru-hara di rantau itu tidak dapat dinafikan bahawa salah sebuah negara yang bertanggungjawab atas semua itu adalah Israel.

“Kita semua tahu peranan Israel. Israel mahu melemahkan negara-negara Arab, mahu melemahkan tentera dan mengguling pemimpin yang sah di negara tersebut. Itu yang kita harus faham iaitu peranan Israel untuk melemahkan dan memecahbelahkan negara-negara Arab.

“Jika semua negara-negara ini berpecah, tenteranya tidak kuat, pemimpin mereka digulingkan, siapa yang untung? Israel. Dia boleh menguasai rantau itu. Sebab itu, saya lihat Israel dari satu segi matlamatnya sama dengan AS iaitu tidak mahu negara-negara Arab dan negara-negara Islam menjadi kuat,” katanya.

Beliau sempat memberikan beberapa contoh pemimpin-pemimpin negara Islam yang menjadi mangsa dan digulingkan Israel.

“Seperti yang berlaku terhadap Saddam Hussien (bekas Presiden Iraq) dan Muammar Gaddafi (bekas pemimpin Libya). Kemudian lihat pada sikap Israel pada Syria dan Presidennya, Bashar al-Assad kerana beliau kuat menentang Israel. Israel juga menentang Hezbollah kerana parti politik itu berjaya mengusir Israel dari Lubnan.

Israel terpaksa berundur dari Lubnan kerana kekuatan Hezbollah. Di Sudan pula, antara negara yang menjadi dalang atas perpecahan yang berlaku ke atas negara itu adalah Israel.

“Jadi, saya tak nampak Obama akan mengambil tindakan sama seperti Kennedy dalam konteks ini. Itu tidak akan berlaku. Mustahil. Saya pasti itu tidak akan berlaku kerana pengaruh Israel dan peranan yang dimainkan oleh golongan zionis sama ada zionis Yahudi atau Kristian di AS,” katanya.

0 comments:

share2