Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 7, 2015

MAHKAMAH: AKTA HASUTAN UNDANG-UNDANG SAH


mahkamah


Putrajaya - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Akta Hasutan 1948, undang-undang praMerdeka, ialah undang-undang yang sah dan boleh dikuatkuasakan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim berkata undang-undang sedia ada, hanya tidak sah jika ia tidak boleh dibawa masuk dan diselaraskan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

Beliau berkata, tujuan merangka Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang-undang sedia ada akan terus sah dan boleh dikuatkuasakan sebaik Perlembagaan pada Hari Merdeka beroperasi.

"Oleh itu akta menjadi 'undang-undang sedia ada' pada tarikh berkenaan, harus diteruskan sebagai sah dan dikuatkuasakan selepas Hari Merdeka," kata Arifin dalam mahkamah yang penuh dengan kehadiran pensyarah undang-undang dan pelajar.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

Panel itu membuat keputusan dalam kes Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan.

Pada 11 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan Akta Hasutan menurut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1948.

Azmi, 46, berdepan pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) akta itu, masing-masing berhubung komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told', pada 15 Ogos tahun lepas.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hari ini Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes itu didengar di Mahkamah Sesyen bagi menyambung semula prosiding.

0 comments:

share2