Seorang lelaki yang cedera selepas terjatuh ketika berkelah bersama lapan rakan di aras tujuh Air Terjun Bekelah, Paya Bongor, Gambang kelmarin terpaksa menahan kesakitan beberapa jam selepas usaha membawanya turun menghadapi kesukaran ekoran keadaan laluan di lereng bukit yang sukar dan berbahaya.
Mangsa dikenali sebagai Izzat Akmal Zainal, 23 dari Putrajaya dilaporkan cedera pada bahagian kaki akibat terjatuh.
Menurut anggota penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Koperal Ross Harnimi Nizam Ahzan, usaha untuk menurunkan mangsa terpaksa menggunakan cara manual dan mengambil masa hampir enam jam ekoran keadaan laluan yang amat sukar.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 3 petang sebelum tujuh anggota JPAM bersama 10 anggota bomba dan dua anggota polis ke lokasi untuk mengerakkan operasi menyelamat.
“Kami tiba kira-kira jam 5.30 petang dan segera melakukan rawatan awal kepada mangsa.
“Usaha membawa turun lelaki itu dilakukan kira-kira jam 8 malam dan tiba ke tempat kenderaan di kaki bukit kira-kira jam 12.30 tengah malam,” katanya.
Ross Harnimi Nizam berkata, mangsa yang berjaya dibawa turun kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan lanjut.
“Mangsa bersama rakannya difahamkan datang ke situ untuk berkhemah bagaimanapun dia dipercayai terjatuh.
“Mangsa tidak dapat bergerak akibat kecederaan itu memaksa rakan-rakan memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu adalah kali kedua melibatkan kecederaan mangsa yang berkunjung ke air terjun itu.
Sebelum ini seorang wanita, Ainil Fatihah Masfangi, 23 dari Kapar, Klang Selangor parah selepas terjatuh ketika berkelah bersama 15 rakan juga di aras tujuh air terjun itu.
Mangsa yang mengalami retak bahagian tulang pinggul akibat tergelincir sebelum terjatuh ke atas batu terpaksa menahan kesakitan lebih 24 jam selepas usaha membawanya turun menghadapi kesukaran akibat faktor laluan dan cuaca yang tidak mengizinkan.
0 comments:
Post a Comment