Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 2, 2015

'SAYA TIDAK AKAN LETAK JAWATAN'


'Saya tidak akan letak jawatan'


Kuala Terengganu - Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menegaskan tidak akan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu walaupun sudah menyertai Parti Amanah Negara.

Beliau yang bertanding atas tiket Pas pada PRU13 lalu memberitahu, tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang supaya mana-mana wakil rakyat berbuat demikian selepas keluar daripada parti asal untuk menyertai parti lain.

“Pihak yang menyuruh meletak jawatan kerana ia berkaitan dengan moral, tetapi kalau perjuangan parti yang dulu sudah berubah, kalau dulu ‘Pas For All’ tetapi sekarang ini tidak melambangkan untuk semua, golongan profesional pun sudah ditolak, (hubungan) dengan bangsa lain pun sudah longgar, bagaimana pula? Kalau orang berubah, kita berubah,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahu bekas ahli Pas yang memenangi kerusi Dun serta Parlimen perlu meletakkan jawatan sekiranya mereka menyertai Parti Amanah Negara.

Takiyuddin berkata, perkara itu perlu dilakukan berdasarkan bai’ah yang ditandatangani oleh bekas ahli parti itu. 

Mengulas mengenai bai’ah, Raja Bahrin berkata, pihaknya menerima pandangan daripada Penasihat Umum Parti Pekerja Malaysia, Ahmad Awang bahawa bai’ah yang dilafazkan wakil rakyat Pas yang meninggalkan parti itu tidak lagi sah selepas PR berkubur.

“Bagi saya cukuplah dengan kenyataan dibuat Ustaz Ahmad di mana ia hanya terpakai apabila situasi yang wujud dahulu kekal. Apabila berubah, bai’ah sudah tidak terpakai,” katanya.

Menurutnya, Parti Amanah Negara akan dilancarkan secara rasmi di peringkat Terengganu pada 4 September ini, di Dungun.

Raja Bahrin yang bertindak selaku Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu berkata, beliau akan tetap menggunakan pejabat ahli parlimen di Paya Keladi untuk menyampaikan khidmat kepada rakyat.

Ditanya mengenai sasaran keahlian khusus di negeri ini, beliau percaya parti tersebut boleh pergi lebih jauh walaupun Terengganu lebih didominasi Pas dan Umno. 

Jelasnya, Parti Amanah Negara lebih inklusif kepada semua kaum dan agama, serta tidak terhad kepada mana-mana golongan.

Menurutnya, parti itu juga tidak mewujudkan persaingan dengan PKR, lebih-lebih lagi apabila parti tersebut turut memberi kerjasama yang baik kepada pihaknya dan kedua-duanya bakal bergabung dalam PR II yang turut melibatkan DAP kelak.

Sementara itu, mengulas penyertaan dalam PRU14, beliau tidak menolak parti itu akan menurunkan calon sekiranya ada keperluan untuk bertanding di negeri ini.

0 comments:

share2