Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 3, 2015

PENCEROBOH LAHAD DATU DITAHAN EMPAT JAM


Sabah diceroboh


Kota Kinabalu - Seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu ditahan kira-kira empat jam selepas polis mula mengintip panggilan telefonnya, Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu semalam.

Ketika disoal balas peguam Abdul Gani Zelika, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, beliau tidak sedar tentang penahanan anak guam Abdul Gani, Abdul Hadi Mawan.

Saksi itu berkata, beliau juga tidak sedar bahawa pintasan komunikasi terhadap tertuduh hanya dijalankan pada 14 Mac 2013 sungguhpun beliau memberi kebenaran kepada polis untuk berbuat demikian pada 15 Februari 2013.

"Saya hanya dimaklumkan bahawa polis perlu melakukan pintasan komunikasi yang dikatakan itu secepat mungkin," katanya, dan menambah, pegawai Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Yusoff Mohd Amin memohon kebenaran untuk melakukan pintasan komunikasi itu.

Mohamad Hanafiah memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Mohamad Hanafiah turut memberitahu mahkamah beliau tidak tahu bahawa pintasan komunikasi ke atas Abdul Hadi mendedahkan bahawa tertuduh berhubung dengan individu dikenali sebagai 'Datu Bahang' atau Datu Amir Bahar, yang juga dicari polis berkaitan pencerobohan itu.

Kepada soalan Abdul Gani, saksi itu berkata permohonan untuk melakukan pintasan komunikasi menggunakan nombor telefon Abdul Hadi 011-25259482 dibuat atas alasan tertuduh terlibat secara langsung dengan kumpulan pengganas yang menceroboh
Lahad Datu.

Mohamad Hanafiah berkata beliau tidak sedar bahawa pegawai pemprosesan maklumat, yang mengintip perbualan itu, hanya dapat mengenal pasti pemanggil nombor Abdul Hadi itu sebagai 'Pak Edi'.

Abdul Gani: Adakah kamu setuju bahawa tiada keterangan secara langsung untuk membuktikan pembabitan Abdul Hadi dengan kumpulan pengganas atau penceroboh di Lahad Datu?

Mohamad Hanafiah: Saya tidak setuju.

Sementara itu, Mohamad Hanafiah memberitahu mahkamah beliau tidak dapat menjelaskan sebab pintasan komunikasi dilakukan ke atas suspek dikenali sebagai Salib Ahmad Emali pada 8 Februari 2013, enam hari sebelum beliau memberi kebenaran bagi permohonan pintasan komunikasi terhadap suspek.

Beliau bersetuju dengan peguam Datuk N Sivananthan, yang dilantik oleh kerajaan Filipina untuk mewakili 27 rakyatnya dalam perbicaraan itu, bahawa apabila Yusoff datang berjumpanya, terdapat keperluan mendesak untuk melakukan pintasan komunikasi itu.

"Adakah kamu setuju bahawa berdasarkan pemahaman kamu, apabila kebenaran lisan dipohon daripada kamu, kamu tidak dimaklumkan bahawa pintasan komunikasi sudahpun dilakukan?" soal Sivananthan dan dijawab saksi: "Ya, saya setuju."

Mohamad Hanafiah juga bersetuju dengan peguam itu bahawa jika pintasan komunikasi dijalankan sebelum kebenaran diberi oleh pejabat timbalan pendakwa raya, suatu permohonan seharusnya dibuat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Seksyen 6 (3) SOSMA membolehkan seseorang pegawai polis melakukan pintasan komunikasi tanpa kebenaran pendakwa raya dalam kes segera dan mendesak apabila tindakan segera diperlukan.

Bagaimanapun, Mohamad Hanafiah berkata, beliau hanya menerima permohonan mengikut Seksyen 6 (1) akta itu untuk membenarkan polis melakukan pintasan komunikasi sekiranya pejabat timbalan pendakwa raya berpuas hati terdapat maklumat yang berkaitan dengan kesalahan keselamatan.

"Adakah kamu setuju bahawa sekiranya kamu tahu pintasan komunikasi sudahpun bermula, kamu akan menasihati Asisten Komisioner Yusoff untuk menggunakan Seksyen 6 (3) dan bukan Seksyen 6 (1) SOSMA?" tanya Sivananthan dan saksi itu menjawab: "Ya."

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April, 2013. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini.

0 comments:

share2