Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 23, 2015

[KUANTAN] LIMA TERMASUK WANITA DITAHAN KES DADAH


Dadah: Lima termasuk wanita ditahan


Lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.

Suspek berusia 25 hingga 38 tahun itu ditahan secara berasingan hasil tindakan polis dalam tugas rondaan cegah jenayah dan dadah di kawasan Beserah, Air Putih, Kampung Sepat dan Felda Lepar Hilir 1 di sini, kelmarin.

Susulan penahanan suspek itu, polis berjaya mengesan dua daripada mereka didapati masih tersenarai sebagai individu dikehendaki berkait kes dadah dan memiliki barang curi.

Polis turut merampas sejumlah dadah susulan penahan tiga daripada suspek tersebut.

Timbalan ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, tangkapan pertama melibatkan satu pasangan warga tempatan hasil serbuan ke atas sebuah kediaman di Air Putih di sini kira-kira jam 2.15 petang, kelmarin.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, anggota cawangan pencegahan jenayah (CPJ) Balai Polis Beserah melakukan serbuan ke kediaman itu dan mendapati seorang lelaki dan seorang wanita berada dalam rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pasangan berusia 25 dan 33 tahun itu, polis menemui sebuah beg berwarna hitam dan di dalamnya terdapat dua paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah.

“Polis juga turut menemui wang tunai RM 120.00 disyaki hasil jualan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, semakan rekod mendapati suspek lelaki masih dikehendaki berkait laporan polis di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sementara itu dalam kes berasingan, lelaki diberkas oleh anggota CPJ dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Beserah susulan serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung baru, jalan Kuantan-Kemaman dekat sini.

“Hasil serbuan jam 11.30 malam itu, suspek berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada penemuan tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal dan satu plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah dalam poket seluar dipakai,” katanya.

Abdul Aziz berkata, suspek berusia 33 tahun itu dibawa balik ke balai untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang dikehendaki berkait kes memiliki barang curi diberkas hasil pemeriksaan polis ke atas sebuah rumah di di Kampung Sepat Sungai Dua dekat sini, kira-kira jam 10.00 malam, kelmarin.

Menurutnya, suspek berusia 33 tahun itu dibawa ke balai untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia juga positif dadah jenis amphetamine.

Beliau berkata, nasib sama turut dilalui seorang lelaki berusia 35 tahun apabila ditahan polis setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran sebuah rumah di Felda Lepar Hilir 1 di sini.

“Suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis bagaimanapun dia berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dan hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau," katanya.

0 comments:

share2