Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 20, 2015

[KUANTAN] IBU TUNGGAL LIMA ANAK RAYU BANTUAN


Ibu tunggal lima anak rayu bantuan


Kehidupan sebagai seorang ibu tunggal yang dilalui sejak tiga bulan lalu memberi dugaan besar buat Lizawati Mustafa, 33, yang terpaksa menyara lima anak berusia 12 hingga dua tahun dalam keadaan serba kekurangan.

Ibu tunggal itu terpaksa keluar bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah berdekatan rumahnya di Kampung Batu 6, Jalan Gambang dekat sini dengan gaji RM800.

Menurutnya, dengan pendapatan itu, dia gunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM200 selain pengasuh dua anaknya yang ditinggalkan ketika keluar bekerja selain keperluan sekolah tiga anak.

“Saya akui mula-mula memang saya buntu nak teruskan kehidupan dalam keadaan yang tak dijangka ini.

“Bagaimanapun, saya reda demi memastikan anak-anak saya tak terabai terutama dari segi pelajaran,” katanya ketika ditemui pada Program Cakna Kasih Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang dengan kerjasama Kelab Kebajikan Staf Kolej Matrikulasi Pahang (Cares).

Lizawati berkata, dia yang berpisah dengan suami sejak Mei lalu perlu melalui kesusahan itu dengan hati yang kuat.

“Saya baru memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap ada tindakan segera diambil memandangkan saya tak mampu menyara keluarga dengan pendapatan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, anak sulungnya, Mohd Khairul Shafiruddin Zulliazan, 12, pula mengalami masalah pembelajaran iaitu disleksia.

“Tapi dia terpaksa masuk kelas biasa sebab di sekolahnya tak ada kelas pendidikan khas. Saya tak tahu cara nak uruskan persekolahannya di sekolah yang ada pendidikan khas.

“Anak ketiga pula ada penyakit asma, kadang-kadang terpaksa berulang-alik ke klinik untuk dapatkan rawatan,” katanya.

Lizawati berkata, rumahnya yang terletak di kawasan kilang arang menyebabkan anak keduanya, Intan Maisarah, 10, sering ke kawasan kilang itu untuk menganyak arang dengan upah RM20 hingga RM30 sehari.

“Tapi saya akan pastikan dia siapkan kerja sekolah terlebih dahulu sebelum buat kerja tersebut.

“Kadang-kadang rasa sedih tengok anak dah pandai cari duit sebab nak tolong keluarga yang kesempitan wang,” katanya.

Sementara itu, Exco GPMS Pahang, Isharizal Sahak berkata, pihaknya tampil membantu keluarga tersebut dengan menyampaikan keperluan harian dan peralatan persekolahan hasil sumbangan beberapa pihak termasuk daripada Cares.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan ketiga-tiga anak Lizawati yang bersekolah mendapat bantuan sewajarnya.

Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun bank Lizawati, 0611241000116615 (BSN).

0 comments:

share2