Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 8, 2015

[KUANTAN] HTAA TAMPUNG KEPERLUAN PESAKIT PANTAI TIMUR


Dr S Subramaniam


Kementerian Kesihatan mewujudkan perkhidmatan kardiotorasik, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam usaha menampung keperluan rawatan berkaitan penyakit jantung di kawasan Pantai Timur.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, setakat ini perkhidmatan itu hanya disediakan di tujuh buah hospital kerajaan, hospital unversiti, Insitut Jantung Negara (IJN) dan beberapa hospital swasta di negara ini.

"Perkhidmatan ini disediakan mengikut zon seperti Pantai Timur, Selatan, Utara, Sabah dan Sarawak kerana kekangan sumber tenaga manusia terutama penyediaan pakar jantung dan pakar bedah kardiotorasik, selain disebabkan sumber kewangan terhad.

HTAA merupakan hospital yang ketujuh menyediakan perkhidmatan ini dan projek penyediaan prasarananya adalah sebanyak RM2.6 juta, manakala kos perolehan peralatan perubatan dan bukan perkhidmatan pula adalah sebanyak RM34.4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Perkhidmatan Kardiotorasik, HTAA di sini semalam yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

Turut berangkat ke majlis itu, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Menter Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Menurut Subramaniam, sejak perkhidmatan kardiotorasik beroperasi sepenuhnya di HTAA pada 2012 ia telah menerima pesakit dari seluruh daerah di negeri ini serta Terenganu dan bilangan pesakit juga bertambah dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun perkhidmatan kardiotorasik di HTAA setakat ini hanya mempunyai seramai seorang pakar jantung kanak-kanak, dua pakar jantung dewasa, seorang pakar bedah kardiotorasik dan seorang pakar bius.

Kementerian kini sedang berunding dengan Royal College of Surgeon, Ireland bagi menyediakan latihan kepakaran dalam bidang pembedah kardiotorasik untuk menambah bilangan tenaga pakar," katanya.

Dalam masa yang sama, katanya kementerian juga akan mempertingkatkan perkhidmatan itu di HTAA dengan membekalkan alat 'Echo-Cardio-Graph serta peralatan penting lain di makmal jantung 'non-invasive'.

Beliau berkata, kementerian juga sedang berusaha menyediakan makmal jantung invasive yang baru di hospital itu dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Sementara itu Tengku Abdullah bertitah dengan adanya perkhidmatan ini di HTAA, ia dapat mengurangkan senarai menunggu pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di IJN sekali gus mempercepatkan proses pembedahan untuk rakyat Pantai Timur.

0 comments:

share2