Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 8, 2015

[KUALA LIPIS] WARGA EMAS DAPAT RUMAH BAHARU


Warga emas dapat rumah baharu


Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang warga emas di Kampung Kuala Kechau di sini apabila menerima sebuah rumah baharu untuk berteduh di samping rasa bertuah sebagai hadiah sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Warga emas berkenaan, Abd Karim Abd Majid, 61, berkata, projek rumah baharu pemberian kerajaan di kampung itu memberi keselesaan kepada kehidupannya hingga ke akhir hayat kerana sebelum ini dia tinggal di rumah uzur dan usang sejak di usia muda.

“Rumah yang dibina di tapak yang jauh dari Sungai Kechau cukup selesa dan selamat kerana saya tidak perlu bimbang lagi apabila berlaku musim tengkujuh.

“Kediaman lama saya yang uzur dan reput kerap ditenggelami air ketika banjir Sungai Kechau seperti musibah dahsyat yang berlaku pada penghujung tahun lepas,” katanya selepas menerima replika kunci rumah baharu bantuan banjir daripada Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad, di Kampung Kuala Kechau, di sini, kelmarin.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah, Mohd Zarul Afifi Mohd Zaki; Penghulu Mukim Kuala Lipis, Azhar Bakar dan Ketua Kampung Kuala Kechau, Hamizi Abdul Rahman.

Abdul Karim yang masih bujang berkata, setiap kali berlaku banjir pada penghujung tahun, rumah usang itu dinaiki air dan dia kerap berpindah menumpang rumah jiran dan masjid. 

Menurutnya, dia berasa gembira kerana janji Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad untuk membina rumah baharu di tapak yang selamat selepas banjir tahun lepas kini direalisasikan dan menzahirkan parti Umno dan kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan penduduk khususnya dalam kalangan warga emas.

“Saya harap pemindahan di kediaman yang selesa ini merupakan permulaan hidup baharu sambil mudah mencari rezeki dan memenuhi usia dengan amal ibadah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kebajikan warga emas berkenaan menjadi fokus utama kerajaan selepas rumah lamanya di tenggelami air Sungai Kechau sewaktu musibah banjir.

Menurutnya, kediaman yang dilengkapi dengan ruang tamu, tiga bilik tidur, dapur, bilik mandi dan tandas cukup selesa didiami oleh Abd Karim.

“Kerajaan menerusi bantuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperuntukkan sebanyak RM55, 000 untuk membina rumah baharu warga emas ini di samping projek yang sama bagi mangsa banjir di Kampung Aur Gading dan Chegar Perah yang sudah pun siap dibina.

“Selain itu, kita juga memuji kerja pembinaan rumah yang dilakukan oleh kontraktor dilantik, Mohd Fazli Dzulkifli, 32, yang juga merupakan belia Kampung Kuala Kechau kerana menyiapkan kediaman tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

0 comments:

share2