Kuala Lumpur - Keadaan jerebu yang masih melanda negara menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai terutama golongan ibu bapa.
Ia selepas pengumuman oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai penutupan 2,045 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka melibatkan 1.5 juta pelajar.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan mahu Kementerian Pelajaran meneliti semula tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang membenarkan sekolah-sekolah di negara ini ditutup.
Katanya, jika tahap bacaan IPU direndahkan kepada 150 berbanding 200 sebelum ini, ia dapat mengurangkan risiko pelajar diserang penyakit akibat jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.
"Tahap IPU 200 itu sudah tidak relevan kerana pelajar khususnya kanak-kanak ini mempunyai sistem pernafasan yang lebih sensitif.
"Ditambah pula mereka yang mempunyai kesihatan yang tidak baik, ini membimbangkan bukan sahaja ibu bapa malah guru yang terpaksa menjaga murid-murid mereka," katanya.
Mohamad Ali berkata, kementerian juga perlu menetapkan garis panduan yang lebih jelas dengan membenarkan guru besar menutup sekolah masing-masing berdasarkan situasi di kawasan mereka dan bukannya bergantung kepada negeri yang terlibat.
Pelaksanaan itu lebih relevan memandangkan guru besar lebih peka akan situasi dan tahap bacaan IPU di kawasan sekolah mereka.
Di MELAKA, ibu bapa yang ditemui Bernama memohon Kementerian Pendidikan membuat pengumuman penutupan sekolah akibat jerebu lebih awal selepas ini dan bukan lewat malam seperti berlaku semalam.
Zainah Mohd Daud, 45, berkata pengumuman lebih awal itu penting supaya ibu bapa dapat melakukan persiapan awal seperti meminta cuti bagi menjaga anak di rumah.
"Saya baru tahu tentang penutupan sekolah masa hantar anak pagi tadi, ini membuatkan saya kelam-kabut kerana terpaksa mengambil cuti pada hari ini untuk jaga anak," katanya yang bertugas sebagai pegawai tadbir di sini.
Zainah berharap agar pihak kementerian juga menggunakan pelbagai saluran media terutamanya media sosial bagi menyampaikan maklumat tentang penutupan sekolah itu.
Seorang pemilik restoran Suziana Ali, 46, berkata dia bernasib baik kerana mengetahui mengenai penutupan sekolah di media sosial pada tengah malam tadi(semalam).
"Tetapi itu pun agak kelam-kabut juga menguruskan anak siapa nak jaga hari ini, apapun saya berterima kasih kerana penutupan sekolah ini penting bagi menjaga kesihatan pelajar," katanya.
Sebanyak 313 sekolah melibatkan kira-kira 157,000 pelajar di negeri ini terpaksa ditutup akibat jerebu setelah menerima arahan daripada Kementerian Pendidikan pada lewat malam tadi.
Bacaan IPU di Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai setakat pukul 3 petang tadi kekal pada tahap tidak sihat iaitu masing-masing 119 dan 125.
0 comments:
Post a Comment