Sebelum ini beberapa portal berita politik tempatan pernah menyiarkan komen panas oleh seorang pemimpin pembangkang tergamak menggelarkan tokoh Pas tertentu sebagai anjing yang hanya tahu menyalak bukit.
Ini mungkin kerana ketegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melarang ahli-ahli parti Islam itu menyertai perhimpunan hara Bersih 4 baru-baru ini yang akhirnya terbukti gagal dapat sambutan peserta Melayu.
Gelaran haiwan ‘najis mughallazah itu’ bagaimanapun kurang disensasikan portal propembangkang kerana bimbang rakyat Malaysia khasnya penyokong Pas melihat kerjasama parti-parti anti-BN sebagai sudah berkubur.
Ironi, penghinaan biadap itu jelas tidak dilupakan Abdul Hadi dan peluang berucap pada Kongres Rakyat anjuran beberapa NGO yang rapat dengan parti itu di Shah Alam, Selangor pagi Sabtu dijadikan medan meluah perasaan.
“Anjing tidak salak bukit, tetapi anjing salak babi di bukit itu….” itu bidalan ‘pedas’ digunakan beliau sehingga mengejutkan ramai peserta yang hadir selain penganalisis politik tanah air sama ada kerajaan atau pembangkang.
Menurut portal AgendaDaily, ia menimbulkan persoalan kepada wartawan yang membuat liputan, ada yang kata bidalan itu Abdul Hadi tuju kepada DAP, ada yang kata tak ada kena mengena dengan mana-mana parti.
Abdul Hadi namun memberi pencerahan selepas berucap merasmikan kongres di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dianjurkan bertujuan memperkenalkan acuan Islam sebenar.
“Kongres Rakyat ini mendidik kita bertukar-tukar fikiran. Walaupun kita golongan yang lemah, sampai ada orang kata kita umpama anjing menyalak bukit. Tetapi anjing tidak salak bukit, anjing salak babi di bukit itu.
“Ini yang sebenarnya, kita ‘menyalak’ kelemahan yang berlaku dan najis yang mempalit kita semua,” ujar beliau yang menjelaskan segala masalah juga boleh diselesaikan dengan kembali kepada Allah.
“Marilah kita selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya. Wawasan kita ialah kembali kepada Allah SWT, bukan sekadar mahu menawan Putrajaya,” tegas Abdul Hadi.
Katanya, kaum Melayu Islam yang merupakan majoriti terbesar di Malaysia sepatutnya memimpin negara ini, kerana agama Islam telah melatih bangsa Melayu sejak dahulu lagi untuk menjadi pemimpin.
“Melayu ada pengaruh lebih besar dan mereka wajar selamatkan negara ini dengan Islam,” ujarnya yang menambah Nabi Muhammad SAW sendiri menunjukkan konsep dalam usaha memperkasakan negara.
Bahkan sejarah Islam lampau kata Abdul Hadi membuktikan pemimpin Islam boleh silih berganti dalam kalangan pelbagai bangsa berlainan tetapi mereka masih lagi adalah penganut agama Islam.
Beliau turut menegur sikap rakyat Malaysia yang sering bercakaran sesama sendiri. Menurut beliau, sikap berkenaan merupakan antara punca kepada masalah yang dihadapi oleh negara pada ketika ini.
“Sumber manusia dan bumi kita banyak, tetapi kenapa kita hadapi masalah ekonomi, mata wang jatuh, inflasi, membebankan rakyat. Orang kata kita tak pandai urus, tadbir dan memanfaatkan sumber-sumber ini. Kenapa?
“Sebab kita sibuk bercakaran antara satu sama lain. Kita mengaku Pas, UMNO dan semua parti sibuk bercakar… bercakar dalaman, antara kaum. Kita tidak gunakan sikap kemanusiaan yang sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut berkata, pemimpin yang baik tidak akan menonjolkan kehebatan dirinya sendiri, sebaliknya penilaian tersebut akan dibuat oleh rakyat.
“(Pemimpin) tidak membersihkan dirinya sendiri. Islam menjunjung demokrasi yang berakhlak, bukan demokrasi politik wang dan demokrasi yang menipu rakyat,” katanya.
Katanya lagi, orang Melayu di negara ini juga perlu memainkan peranan menyelamatkan negara atas nama Islam kerana Islam yang mendidik Melayu menjadi pemimpin manakala kaum yang lain itu memilih pemimpin Islam.
“Maka Melayu yang mempunyai pengaruh besar kena selamatkan negara dengan Islam, bukan fanatik Melayu. Orang Melayu kena sedar kedudukan mereka sendiri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment