Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 11, 2015

BAJU MERAH: 'KAMI BUKAN NAK MERUSUH'


Baju merah: 'Kami bukan nak merusuh'


Kuala Lumpur - Seramai 250 ahli NGO Melayu semalam menyatakan sokongan terhadap Himpunan Rakyat Bersatu atau Himpunan Maruah Melayu anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) pada 16 September ini.

Jurucakapnya, Datuk Jamal Md Yunos turut menegaskan himpunan berkenaan bukanlah bertujuan untuk merusuh sebaliknya untuk menunjukkan perpaduan di kalangan orang Melayu. 

"Kita bukan buat perhimpunan rusuhan, bukan perhimpunan untuk lakukan jenayah, tapi perhimpunan aman...

"Rakan-rakan NGO yang datang pada hari ini yang menyokong perhimpunan ini adalah untuk menunjukkan semangat perpaduan orang-orang Melayu untuk mempertahankan Perlembagaan dan undang-undang negara," katanya pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.

Tambah Jamal, pihaknya akan mengumpulkan seramai 30,000 ahli NGO Melayu yang akan berkumpul di Bukit Bintang sebelum berarak menuju Padang Merbok pada hari tersebut.

Himpunan ini diadakan sebagai tindak balas terhadap himpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka menjelang Hari Kemerdekaan negara pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Jamal selaku Ketua Umno Bahagian Sg Besar juga akan menggerakkan seramai 3,000 ahli Umno kawasannya untuk turut serta pada perhimpunan itu dengan mengenakan baju berwarna merah.

Jamal turut memberi jaminan bahawa perhimpunan itu tidak akan menjejaskan operasi premis perniagaan di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

"Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, kalau peniaga nak berniaga buka kedai, tiada masalah, kita bukan nak mengganggu..bukan nak merusuh, memecahkan kedai dan merosakkan harta awam," ujarnya.

Pihaknya turut menyediakan seramai 20 peguam untuk membantu mana-mana peserta himpunan itu sekiranya ditahan pihak polis atau diambil tindakan undang-undang kerana melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Mana-mana rakan NGO yang melanggar undang-undang, itu atas tanggungjawab mereka sendiri.

"Dari sehari ke sehari ramai lagi peguam Melayu akan sukarela menjadi peguam jikalau berlakunya tangkapan ataupun masalah lain yang memerlukan perkhidmatan undang-undang," katanya lagi.

0 comments:

share2