Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 17, 2015

AWAS KAKI 'KAIL' DUIT TABUNG MASJID


Wan Abd Aziz Wan Hamzah


Kuala Terengganu - Polis menasihatkan agar pihak pengurusan masjid lebih kerap membuat kutipan tabung masjid, bagi mengelakkan kejadian memecah tabung masjid yang dilihat semakin menjadi-jadi.

Terbaharu, tiga masjid menjadi sasaran, iaitu di Masjid Jamek Kemasik, Kemaman; Masjid Paka, Dungun dan Masjid Ahmad Ibrahim, Rhu Rendang, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, menggunakan modus operandi yang sama iaitu menggunakan dawai atau batang buluh dan gula-gula getah, penjenayah bertindak ‘mengail’ tabung masjid bagi mendapatkan duit tabung.

Dalam kejadian pada 13 September lalu di Masjid Jamek, Kemasik, suspek yang berusia 32 tahun berjaya dicekup polis yang ketika itu sedang membuat rondaan.

“Dua anggota yang ketika itu sedang membuat rondaan kira-kira jam 12.20 pagi telah menjumpai suspek yang ketika itu berada dalam masjid dan dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan pada badan mangsa menjumpai satu beg pinggang, satu dawai sepanjang dua kaki dan gula-gula getah yang diletakkan di hujung dawai serta duit berjumlah RM57.

“Hasil pemeriksaan CCTV, suspek didapati telah mencuri duit dalam tabung masjid berkenaan. Suspek yang berasal dari Jabor itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Manakala pada 12 September lalu, kira-kira jam 11.30 pagi, semasa seorang juruteknik yang berusia 52 tahun berada dalam bilik bilal, dia telah melihat rakaman CCTV.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat seorang lelaki ‘mengail’ tabung masjid dan dia kemudiannya terus membuat laporan polis pada hari yang sama. Polis kemudiannya menjalankan usaha memburu suspek dan suspek yang berusia 34 tahun, berjaya ditangkap di Masjid Hadhari, Paka.

Hasil pemeriksaan, polis menjumpai barang yang disyaki untuk ‘mengail’ dan menjumpai wang berjumlah RM197.

Manakala dalam kes ketiga di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Rhu Rendang, tabung masjid telah dipecahkan pada 12 September lalu, kira-kira jam 10.30 malam dengan cara memotong mangga tabung dan suspek kini masih diburu polis.

“Saya menasihatkan agar duit tabung masjid dikutip secara berjadual. Sebaiknya dikutip tiga kali iaitu pada waktu Subuh, Asar dan Isyak bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Lebih baik jika dipasang CCTV jika pengurusan masjid mempunyai peruntukan yang lebih kerana ia sekurang-kurangnya untuk mengurangkan kejadian sebegini dan memudahkan pihak polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

0 comments:

share2