Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 8, 2015

[TRIANG] PENDUDUK KESAL HALANGAN DIBUKA


Penduduk kesal halangan dibuka


Tindakan segelintir penduduk yang membuka halangan batu di laluan dekat simpang tiga berhampiran Klinik Kesihatan Triang membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Seorang pengguna, Ridzuan Rosdi, 42 berkata, laluan keluar masuk alternatif ke taman perumahan itu telah ditutup oleh pihak berkenaan bagi mengurangkan indeks kemalangan di persimpangan itu.

Bagaimanapun, katanya, halangan batu itu dialihkan untuk kepentingan pihak tertentu memandangkan itu laluan yang dekat untuk ke jalan utama.

“Masa halangan itu diletakkan di situ, laluan di persimpangan ini selamat kerana pengguna menggunakan lorong berkenaan untuk keluar simpang.

“Tetapi sejak halangan itu dialihkan, pengguna yang keluar dari laluan alternatif itu mengganggu keselamatan pengguna lain yang sedang menghala keluar simpang,” katanya.

Ridzuan berkata, kenderaan boleh bertembung sekiranya pengguna yang mahu keluar simpang tidak perasan kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, sebelum ini, halangan yang diletakkan itu bersaiz kecil tetapi dipecahkan penduduk tidak bertanggungjawab malah selepas ditukar halangan bersaiz besar keadaan itu tetap berulang.

Sebelum ini, penduduk yang tinggal di kawasan taman perumahan di sekitar persimpangan ini pernah melakukan piket bagi mendesak pihak berkenaan memasang lampu isyarat bagi memudahkan pengguna keluar dari simpang tiga ini.

“Saya tidak pasti sama ada lampu isyarat boleh dipasang di simpang tiga ini atau tidak. Tetapi, yang saya pasti, keselamatan pengguna boleh terjamin kalau semua simpang-simpang kecil di kawasan berdekatan ditutup.

“Kalau semua simpang-simpang ini ditutup, saya percaya masalah peningkatan kemalangan di kawasan ini dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berharap, pihak berkenaan dapat memikirkan kaedah terbaik bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan persimpangan ini.

0 comments:

share2