Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 26, 2015

MENTERI KENA CONTOHI MB PAHANG, 10 EXCO


Akhbar Satar


Putrajaya – Tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan 10 Exco akan mengisytiharkan harta masing-masing dalam komitmen membanteras rasuah dianggap sebagai satu tindakan baik dan wajar dicontohi oleh pemimpin lain.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, tindakan tersebut wajar dicontohi barisan menteri dalam negara ini.

“Bukan mudah bagi seseorang seperti Menteri Besar dan Exco untuk mengisytiharkan hartanya. Ini merupakan satu contoh yang baik dan boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat terutamanya di negeri Pahang.

“Kita harap menteri yang lain juga berbuat demikian. Lakukanlah pengisytiharan aset kepada SPRM,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) di sini, hari ini.

Menteri Besar Pahang dan 10 Exco seperti yang dilaporkan semalam akan mengisytiharkan harta masing-masing sebagai komitmen dalam membantu membanteras rasuah.

Adnan Yaakob berkata, beliau sudah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Timbalan Ketua Penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum keputusan itu dibuat.

Menurutnya, mereka akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat dan berharap tindakan tersebut dapat menyedarkan masyarakat bahawa kerajaan negeri terbuka dan telus dalam usaha menangani rasuah.

0 comments:

share2