Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 4, 2015

MB NAFI BERI UCAPAN KONTROVERSI


MB nafi beri ucapan kontroversi


Seremban - Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa Umno di negeri ini tidak memerlukan parti komponen BN.

Beliau sebaliknya berkata, kenyataan dalam ucapannya pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Seremban di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Sabtu lalu adalah untuk mengajak bersama-sama memperkukuhkan BN, selain bagi menaikkan semangat ahli Umno untuk menawan kesemua 22 kerusi dipertandingkan.

“Apa yang saya cuba tekankan adalah kita ahli Umno perlu melihat PRU14 nanti merupakan pilihan raya umum yang amat penting, mustahak dan getir.

“Semua orang kena kerja kuat. Saya tak kata tidak perlu parti komponen BN. Ia adalah mustahil. Yang penting, kita mesti menang kesemua 22 kerusi Dun supaya boleh tubuh kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang. Begitu juga dengan parti komponen lain yang perlu bekerja kuat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad memohon maaf kepada semua parti komponen BN berikutan isu tersebut mengundang kegelisahan dalam kalangan mereka.

“Bukan hasrat saya memperkecilkan, tetapi kalau dengan memberikan kata minta maaf boleh memuaskan hati semua orang, saya minta maaf. Saya bukan minta maaf kerana saya salah tetapi saya nak supaya suasana ini dapat dijernihkan. Itu sahaja... 

“Saya mahu pastikan kita akan sentiasa menjadi good friend dalam BN dan pastikan menang dalam PRU dan ini semua untuk kepentingan BN,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama wakil parti komponen BN Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Mohamad berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa niat dan mahu semua orang faham serta tidak mahu timbulkan kekeliruan.

“Tidak ada unsur-unsur nak sakitkan sesiapa ataupun mahu menidakkan sesiapa. Saya cuma mahu melihat BN menang pada PRU14 nanti. 

“Kita kadang-kadang bila terlampau emosi, tersilap cakap pun susah. Saya tidak kisah orang kata saya kurang cerdik dan macam-macam. Saya OK. 

“Dan dalam perjumpaan hari ini (semalam), saya sudah terangkan kepada rakan-rakan dalam parti komponen BN membabitkan MIC, MCA, Gerakan, Kimma dan Makkal Sakti bahawa itulah tujuan saya dan tiada niat," katanya. 

Mohamad berkata, perjumpaan semalam adalah untuk membetulkan keadaan supaya dapat menjernihkan suasana. 

“Tidak mahu ada unsur perasaan kecewa ataupun perasaan tidak puas hati dengan saya. Sebab kita tidak mampu bertelingkah dalam kalangan anggota parti komponen BN, sebaliknya perlu bersama-sama perangi pembangkang. Itu sebenarnya musuh kita,” katanya.

Hadir sama pada perjumpaan semalam, Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr Lim Chin Fui; Ketua Penerangan MIC negeri, Datuk VS Mogan; Pengerusi Parti Gerakan negeri, David Choong Vee Hing; Pengerusi Kimma negeri, Syed Mohd Ali Syed Mohamad dan Setiausaha BN negeri, Datuk Hasim Rusdi.

0 comments:

share2