Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 5, 2015

(KUANTAN) SUSPEK KES PECAH RUMAH DICEKUP


Suspek kes pecah rumah dicekup


Seorang lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah sekitar bandar ini ditahan di Jalan Beserah di sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 41 tahun ditahan kira-kira jam 6.30 pagi untuk pemeriksaan selepas dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua buah beg berisi peralatan disyaki untuk kegunaan pecah rumah, sejumlah barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing, duit syiling dan telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan haramnya itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil semakan rekod mendapat suspek memiliki 11 rekod lampau termasuk berkait kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, penahanan lelaki itu susulan pemantauan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) bersama Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Air Putih dan Cawangan D4 IPK Pahang di sekitar Jalan Beserah.

“Dalam rondaan itu, anggota terlibat terserempak dengan suspek sedang menunggang dalam keadaan mencurigakan sebelum dia diekori bagi tujuan pemeriksaan.

“Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak nekad memecut motosikal untuk melarikan diri bagaimanapun cubaannya gagal selepas dia dihalang dan berjaya diberkas setelah berlaku sedikit pergelutan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, ketika ditahan suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri untuk pemeriksaan bagaimanapun memaklumkan butiran peribadinya melalui akuan lisan.

“Kita turut melakukan pemeriksaan ke atas motosikal yang digunakan sebelum menemui dan merampas beg berisi perkakasan pecah rumah, barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas motosikal yang digunakan untuk siasatan lanjut sama ada ia kenderaan curi atau sebaliknya.

“Siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam kes-kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini selain kemungkinan ada pembabitan individu lain dalam aktiviti itu,” katanya.

0 comments:

share2