
Ipoh - Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) mengesahkan dua kilang memproses makanan di Bagan Serai yang diarah tutup, 3 Ogos lalu, tidak mempunyai pensijilan halal sah.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pengurusan kilang sebelum ini ada mengemukakan permohonan sijil halal, namun tidak diluluskan atas beberapa faktor, termasuk aspek kebersihan yang tidak menepati piawaian.
Menurutnya, berdasarkan rekod, Jaipk sudah empat kali menolak permohonan pensijilan halal kilang terbabit apabila pemeriksaan mendapati pengurusan gagal mengikut garis panduan dan saranan Jaipk.
“Pensijilan halal bukan sahaja berkisar mengenai bahan digunakan, ia juga meliputi kebersihan dan antara sebab permohonan sijil halal ditolak apabila pengurusan premis gagal memenuhi kehendak kita.
“Kita sudah tolak empat kali permohonan mereka, jadi kalau mereka ada tunjuk sijil halal, kita pasti ianya palsu ataupun sijil lama yang tidak diperbaharui,” katanya.
Isnin lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengeluarkan notis supaya dua premis memproses belacan, bawang goreng, kacang goreng dan kerisik ditutup 14 hari kerana yang tidak mematuhi piawaian kebersihan.
Tempoh itu diberikan bagi membolehkan pengurusan kilang melakukan kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sebelum diperiksa sekali lagi.
Antara kesalahan yang dikenal pasti operasi bersepadu bersama Majlis Daerah Kerian (MDK) itu adalah guni bahan mentah diletakkan atas lantai, sistem pengudaraan dan saliran mengecewakan serta boleh menyebabkan kehadiran tikus dan lalat.
Malah, terdapat kesalahan pemprosesan apabila pengendali tidak mengikuti kursus pengendalian makanan dan tidak mendapatkan suntikan tifoid yang diwajibkan Jabatan Kesihatan Negeri.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu Hasan berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat jika ada keraguan terhadap operasi kilang memproses makanan.
"Pembongkaran seperti ini bukan yang pertama dan beberapa kegiatan premis yang melakukan kesalahan sama telah diambil tindakan.
“Ini saling berkait isu kepenggunaan. Jadi, ketidakpatuhan terhadap piawaian ditetapkan salah sama sekali, tiada kompromi," katanya.

0 comments:
Post a Comment