Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 24, 2015

GUNA FILIPINA UNTUK KESAN LOKASI MANGSA CULIK


Nur Jazlan Mohamed


Putrajaya - Polis sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina bagi mengesan lokasi dua rakyat Malaysia disembunyikan, yang diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pergerakan penculik sukar dikesan memandangkan mereka sentiasa bergerak dan memindahkan mangsa dari satu lokasi ke lokasi lain setiap beberapa hari.

"Bukan mudah untuk mengesan mereka dan dalam hal ini pihak Filipina memainkan lebih peranan kerana kita percaya mangsa berada di dalam kawasan pasukan keselamatan negara itu," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan isteri dan anak mangsa di pejabatnya di sini hari ini.

Pertemuan antara Nur Jazlan dan Chan Wai See, 40, iaitu isteri kepada Bernard Then dan Chang Chin Lung, 32, anak kepada seorang lagi mangsa Thien Nyuk Fun turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat.

Katanya beliau memaklumkan kepada wakil keluarga mangsa bahawa dasar kerajaan adalah 'tidak membayar wang tebusan' namun akan tetap berusaha untuk menyelamat dan membebaskan kedua-dua mangsa menerusi kaedah rundingan.

Nur Jazlan berkata terdapat kebimbangan sama ada penculik akan terus berlembut memandangkan kejadian telah memasuki hari ke-103 hari ini namun beryakinan polis mempunyai cara bagi menangani situasi itu dan perundingan masih berjalan.

"Ahli keluarga memohon agar kementerian mencuba seberapa segera untuk melepaskan kedua-dua mangsa dan saya menyampaikan ucapan simpati Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa KDN akan mencuba sedaya upaya membantu untuk mengembalikan mereka kepada keluarga masing-masing," katanya. 

Chan berkata beliau dan Chang amat berharap KDN dapat melakukan sesuatu bagi menyelamatkan mangsa, apatah lagi keadaan kesihatan Thien yang menghidap penyakit darah tinggi yang semakin teruk.

Katanya perkara itu dimaklumkan oleh suaminya menerusi satu panggilan telefon yang dibuat pada petang Sabtu lepas yang turut bertanyakan bila mereka akan diselamatkan. 

"Selain itu suami sempat beritahu keadaan amat sukar dan mungkin akan bertambah buruk jika wang tebusan tidak dibayar. Itu sahaja yang suami sempat cakap sebelum talian diputuskan ... mungkin juga untuk beritahu dia masih hidup," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman sebagai berkata kumpulan militan di selatan Filipina telah menuntut RM30 juta bagi pembebasan dua rakyat Malaysia itu.

0 comments:

share2