
Manong - Dahulu sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an aktiviti mengangkat rumah kampung tidak asing bagi penduduk, namun kini dek kepesatan pembangunan, jarang sekali aktiviti berkenaan diadakan.
Dalam usaha mengembalikan semula tradisi itu, penduduk Kampung Ulu Piol, di sini, bersama-sama memindahkan sebuah rumah kayu milik Sani Mat, 53, ke tapak baru berhampiran.
Aktiviti itu turut disertai anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Perhutanan dan beberapa agensi lain.
Bagi Sani yang bekerja sebagai penggali kubur, tiada kata mampu diucapkan selain terima kasih kepada semua pihak yang menyertai gotong-royong memindahkan rumahnya, semalam.
Menurutnya, dia yang baru sahaja membeli rumah berkenaan pada penghujung tahun lalu berharap lokasi baru itu mampu memberi keselesaan kepada keluarganya.
“Saya tinggal bersama isteri dan seorang anak berusia dua tahun. Rumah lama begitu hampir dengan jalan raya namun rumah baru ini agak ke dalam.
“Jadi, keadaan ini lebih selamat untuk anak saya. Rumah ini masih belum siap namun dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.
“Pembinaan rumah ini hasil gotong-royong daripada penduduk. Saya terharu dengan keprihatinan mereka,” katanya.
Bergotong-royong siapkan rumah
Dalam pada itu, Penghulu Mukim Senggang, Mohd Zuraimi Razali memaklumkan penduduk kampung bergotong-royong menyiapkan rumah untuk Sani sejak bulan Mac lalu.
Menurutnya, rumah tersebut dijangka siap tidak lama lagi memandangkan hanya tinggal beberapa perkara untuk disiapkan dan segalanya mengikut perancangan yang telah disusun.
“Buat masa ini, tinggal dinding dan atap saja yang masih belum disiapkan. Bila kita berjaya pindahkan rumah, ia memudahkan kami untuk melakukan kerja-kerja seterusnya.
“Sebelum ini, Sani hanya menyewa rumah di sekitar kampung ini dan tidak pernah memiliki rumah sendiri. Untuk rumah ini, dia membeli rumah yang tidak berpenghuni.
“Penduduk kampung kemudiannya membantu membina semula rumah itu menggunakan kayu-kayu dari rumah yang dibeli itu. Kita jangka, dalam beberapa bulan, Sani boleh duduk di rumahnya sendiri,” katanya.
Belia rasai pengalaman memindahkan rumah
Sementara itu, seorang pemuda dari kampung berkenaan, Megat Mohamad Fitri Megat Ariffin, 38, teruja apabila kali pertama berpeluang menyertai aktiviti itu.
Ujarnya, apabila mengetahui aktiviti tersebut bakal dijalankan di kampungnya, dia tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman mengangkat rumah secara beramai-ramai.
“Kalau diikutkan penat, memang rasa penat sangat sampai bahu pun sakit. Berat jugalah rumah yang diangkat walaupun ia belum siap sepenuhnya.
“Namun saya dan beberapa rakan belia yang lain seronok melakukannya. Tradisi seperti ini bukan senang untuk dilihat apatah lagi menyertainya.
“Jadi, saya boleh dianggap bertuah kerana berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti ini. Meskipun penat namun berbaloi,” ujarnya.
Tambah Megat, jika aktiviti tersebut dijalankan lagi, dia dan rakan-rakan bersedia mengambil bahagian sekali lagi dalam upacara tradisi itu.
Komitmen tinggi dapat pujian
Dalam perkembangan berkaitan, Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie memuji komitmen semua pihak terutamanya Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar kerana dapat menyelesaikan urusan pemindahan rumah itu secara bijaksana.
Menurutnya, situasi itu menunjukkan jabatan itu tidak mengamalkan sikap diskriminasi dan boleh dibawa berbincang dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit di Kuala Kangsar.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong pada hari ini (semalam) dengan memindahkan rumah ke lokasi baru, kira-kira 60 meter dari tapak asal," katanya

0 comments:
Post a Comment