Kuala Lumpur - Malas, terlibat masalah sosial, tidak diterima keluarga dan cuba melepaskan tanggungjawab adalah antara persepsi negatif masyarakat terhadap golongan bergelar gelandangan.
Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengapa mereka memilih untuk tinggal di kaki lima bangunan pencakar langit sedangkan kehidupan yang lebih baik menanti di hadapan.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan Masjid Jamek melalui program Tamar Buat Sahabat Jalanan mendapati sebahagian mereka memilih hidup secara gelandangan kerana berputus asa dengan ikhtiar hidup.
Majoritinya datang dari jauh dengan seribu impian untuk membina hidup sempurna di ibu kota tercinta ini tetapi gagal kerana tekanan akibat penyakit kronik, kejatuhan karier dan masalah rumah tangga.
Abd Wahab Ismail, 56, dari Terengganu berkata, dia telah menjadi gelandangan sejak enam bulan lalu kerana masalah kejatuhan karier dan rumah tangga.
Katanya, dia yang pernah menjadi timbalan pengarah sebuah syarikat korporat memilih tinggal di kali lima bangunan kerana mahu melupakan masalah yang dihadapi.
“Biarlah dulu semuanya berlalu. Lepas ni mungkin saya akan kembali semula bersama keluarga dan memulakan hidup baru. Buat masa ini, kaki lima bangunan jadi tempat menenangkan diri,” katanya.
Rosli Mustapha, 38, dari Sabah pula berkata, dia menjadi gelandangan selepas majikannya tidak bayar gaji selama tujuh bulan sewaktu bekerja sebagai pembersih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, tiada duit yang cukup untuk cari pekerjaan lain menyebabkan dia memilih hidup di jalanan.
“Dah lima tahun saya hidup di kaki lima. Cuba juga cari kerja tetapi asyik ditipu majikan,” katanya.
Mohd Kassim Jumang, 44, juga berasal dari Sabah berkata, dia menjadi gelandangan selepas kehilangan pekerjaan akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu.
Katanya, kecacatan anggota badannya di sebelah kiri menyebabkan dia sukar mendapatkan kerja.
“Ramai orang yang datang hantar makanan setiap hari kepada kami, tapi mereka tak pernah ambil tahu atau dengar masalah kami,” katanya.
Mohd Nor Shahrol, 27, dari Pulau Pinang berkata, masalah penyakit kencing manis kronik menyebabkan dia berakhir menjadi gelandangan selema empat tahun selepas dibuang kerja kerana sering pengsan.
“Saya baru sahaja diberikan surat untuk mendapatkan wang zakat bagi menampung biayaan perubatan tetapi masih lagi dalam pertimbangan sama ada layak ataupun tak,” katanya.
0 comments:
Post a Comment