Segamat – Pencarian rezeki sepasang suami isteri warga emas yang mengambil upah menoreh getah di Kampung Kuala Paya, di sini, berakhir tragedi menyayat hati apabila mereka maut diserang babi hutan dalam kejadian kira-kira jam 1 petang kelmarin.
Mayat mangsa, Loo See Seng dan isterinya, Liow Siew Lan, 65, ditemui pemilik kebun getah tersebut yang secara kebetulan datang ke lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, pemilik kebun berkenaan menghubungi polis memaklumkan insiden tersebut.
“Siasatan awal mendapati, lelaki warga emas tersebut mati akibat cedera di kedua-dua kakinya, paha, tangan dan akibat pendarahan dalaman.
“Sementara itu, isterinya pula didapati patah dan remuk betis kanan serta terdapat kesan koyakkan akibat tusukan objek tumpul pada betisnya.
Selain itu, pakaian yang dipakai oleh kedua-dua mangsa juga koyak rabak dan terdapat kesan seretan,” katanya.
Menurut beliau, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengesyaki mangsa telah diserang babi hutan dan mayat kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk siasatan lanjut.
Mohd Kamil berkata, sewaktu di lokasi kejadian, seekor babi hutan telah menyerang seorang anggota sehingga menyebabkan kecederaan pada betis polis berkenaan.
Bagaimanapun, anggota tersebut sempat menyelamatkan diri dengan memanjat pokok sawit.
“Bagi menyelamatkan anggota terbabit, dua polis lain yang melihat kejadian tersebut melepaskan beberapa das tembakan bagi membunuh babi hutan itu.
Anggota polis yang cedera dibawa ke HDS untuk rawatan lanjut,” katanya.
0 comments:
Post a Comment