Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 5, 2015

KUANTAN: SIARAN TV DIGITAL SEPENUHNYA SELURUH NEGARA AKHIR 2016




Siaran televisyen digital atau Digital Terestrial Television (DTT) dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara akhir tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sebagai permulaan MYTV Broadcasting sdn. Bhd. (MYTV), selaku pihak bertangungjawab membangun dan menguruskan infrastruktur itu, telah memasang alat pemancar atau ‘transmitter‘ untuk siaran ujian di tiga tempat di pantai timur iaitu Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Bakar, Kelantan dan Bukit Pelindung di sini.

“Kami menjangkakan pada Januari depan, semua daerah di Pantai Timur ini mula menerima siaran daripada MYTV.

“Pemasangan set dekoder di rumah-rumah yang terpilih telah pun dimulakan pada 17 Mei lalu dan ini merupakan sebahagian fasa ujian MYTV di daerah-daerah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan set dekoder siaran ujian MYTV di kediaman seorang daripada peserta siaran ujian berkenaan iaitu A. Rahman Abu Bakar di Kampung Rumbia di Beserah, di sini semalam.

Ahmad Shabery berkata kempen siaran ujian MYTV akan diperluas ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat sebelum ke utara dan selatan Semenanjung; seterusnya berakhir di Lembah Klang menjelang hujung tahun depan.

Untuk peringkat percubaan ini, katanya sebanyak dua juta set dekoder percuma akan diedarkan di seluruh negara untuk diberikan kepada isi rumah yang terpilih.

Antara kriteria yang ditetapkan untuk peserta menerima siaran ujian MYTV ini mereka mestilah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), e-Kasih, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta tidak melanggan perkhidmatan tv berbayar, katanya.

Beliau berkata set dekoder yang diedar itu hanya bersifat sementara dan akan digantikan dengan dekoder sebenar MYTV secara percuma setelah perkhidamatan siaran tv digital dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun depan.

“Berdasarkan tinjauan, saya amat berpuas hati kerana walaupun kualiti siaran adalah ‘standard definition‘, namun ia hampir menyamai ‘high definition‘ dan ini akan menjadi asas kepada siaran digital,” katanya.

Ahmad Shabery berkata buat masa kini sebanyak 40 penyiar telah menunjukkan minat terhadap platform yang disediakan oleh MYTV ini yang akan membolehkan pengguna menerima lebih banyak siaran percuma.

“Namun pengguna perlu faham tidak semua rancangan yang ada dalam siaran televisyen berbayar seperti Astro dan HyppTV ada di dalam siaran DTT kerana kami mempunyai pakej yang berbeza,” katanya.

Kempen siaran percubaan MYTV ini membolehkan isi rumah yang terpilih menikmati semua saluran sedia ada seperti TV1, TV2, TV3, ntv7, 8TV, TV9, dan TV AlHijrah dalam kualiti transmisi digital.

0 comments:

share2