Marang - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang penunggang motosikal yang nyaris digilis tayar sebelah kiri sebuah bas dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rhu Rengeh di sini, kelmarin.
Dalam kejadian lebih kurang jam 11.45 pagi itu, mangsa, Abu Mansor Muda, 47, beralamat dari Kampung Kubang Ikan, Chendering, Kuala Terengganu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan pergelangan kaki.
Sebelum kejadian, pemandu bas berusia 44 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan dikatakan memberhentikan bas dipandunya selepas mengesyaki melanggar sesuatu.
Tindakan pantas lelaki terbabit memberhentikan bas dipandunya sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tersepit di bahagian hadapan sebelah kiri bas bersama motosikal ditungganginya.
Orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa dan menghubungi anggota penyelamat sebelum polis dan sebuah ambulans JPAM Marang tiba di tempat kejadian.
Penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan itu segera
dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala polis sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit untuk membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, beliau mengesahkan menerima laporan tentang kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 comments:
Post a Comment