Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 6, 2015

SAYA TIDAK LARANG BALIK KAMPUNG UNTUK JIMAT MINYAK


minyak


Shah Alam - Tampil dengan penjelasan sebenar, Pengarah Eksekutif CCT, Creative Trainers (M) Sdn Bhd, Syed Abdul Aziz Al Qubra berkata, kupasannya terhadap isu kewangan telah dieksploitasikan dan disalah erti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau orang tonton rancangan tersebut dari awal, mereka akan faham apa yang saya cuba sampaikan sebenarnya. Bila mereka potong video program itu dan viralkan, itu yang menyebabkan orang-orang awam marah.

“Tajuk segmen yang diberikan kepada saya adalah ‘Celik Kewangan: Gaji Oh Gaji!’ Saya hanya mengupas tajuk yang diberikan berdasarkan statistik yang diajukan kepada saya. Sebenarnya begini, apa yang saya jelaskan menerusi program tersebut adalah beban yang terpaksa ditanggung oleh sesetengah individu hanya untuk pulang beraya ke kampung,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Katanya lagi, mengikut statistik yang diajukan pengacara rancangan program, Tazneem Faizal, Syed Abdul Aziz berkata, 53 peratus wanita ingin mendapatkan barang kemas baharu sempena Aidilfitri, 23 peratus rakyat Malaysia ingin berkahwin lagi sempena menyambut Syawal, 18 peratus individu atau pasangan akan membelanjakan wang untuk membeli kelengkapan dan perabot baharu manakala lapan peratus lagi berkeinginan untuk membeli kereta baharu di musim perayaan ini.

“Saya hanya menjawab soalan yang diberikan oleh pengacara program. Saya cuma mahu bantu rakyat dari segi perancangan ekonomi. Kalaulah balik kampung itu dirancang dari awal, tidaklah ada masalah buat mereka,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kenyataan ‘jangan balik kampung jika mahu jimatkan minyak dan tol’ yang kini viral di media sosial, beliau berkata, ia merupakan salah faham besar oleh majoriti rakyat negara ini.

“Mengikut statistik trend balik kampung sekarang, hampir 53 peratus wanita akan membeli barang kemas hanya kerana tidak mahu ditegur oleh ibu mertua atau saudara-mara kerana memakai barang kemas tahun lepas. Maka dibelanjakan wang itu untuk membeli barang kemas. Sedangkan kita semua perlu beringat, keadaan sekarang sudah cukup mencabar buat semua pihak khusus golongan berekonomi sederhana dan rendah.

“… Sekarang minyak naik, kadar tol pun dikatakan akan meningkat, saya sarankan kita semua supaya beringat, ia mungkin menyusahkan bagi sesetengah individu, Jika balik kampung terasa terbeban dengan terdesak dan rasa dibebankan untuk tunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu, saya sarankan lebih baik jangan balik kampung, tol dan minyak pun dapat dijimatkan. Itulah penjelasan sebenar saya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, video Syed Abdul Aziz yang dirakam menyarankan rakyat Malaysia supaya tidak pulang ke kampung untuk menjimatkan tol dan minyak menjadi viral di media sosial

Rakaman video yang dipetik menerusi sebuah rancangan bual bicara tersebut mendapat perhatian dan kritikan rata-rata pengguna laman sosial.

Syed Abdul Aziz dalam pada itu tidak menolak peratusan individu yang terpaksa membuat hutang hanya untuk pulang ke kampung.

“Kita semua tahu pulang ke kampung memerlukan belanja yang besar. Kalau balik masa tengah tidak ada duit atau gaji belum masuk, itu lebih susah.

“Sekarang ini, setiap hari kira-kira 56 individu di negara ini diisytiharkan muflis. Saya tidak mahu anda salah seorang daripada individu yang diisytiharkan muflis,” ujarnya.

0 comments:

share2