"Saya dah tak larat dan letih dengan campur tangan 'tangan ghaib', demikian reaksi Mohd Azraai Khor Abdullah berhubung peletakan jawatannya selaku jurulatih Kelantan.
Mohd Azraai Khor meletak jawatan, kurang 24 jam selepas Kelantan dibelasah Lions XII, 3-0.
Bagaimanapun Mohd Azraai Khor menjelaskan, dia belum letak jawatan secara bertulis kerana Pejabat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak beroperasi kerana cuti umum sempena Nuzul Quran.
Katanya, dia sudah memaklumkan peletakan jawatannya secara lisan dan menggunakan aplikasi WhatsApp kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa serta beberapa orang pegawai Kafa.
"Saya maklumkan peletakan jawatan secara lisan dan WhatsApp selepas Kelantan tewas 3-0 ke atas Lions XII di Stadium Jalan Besar
"Cuma saya belum hantar surat kerana pejabat Kafa tutup hari ini.," katanya kepada Sinar Online semalam.
Mengulas tidakan peletakkan jawatannya itu, Mohd Azraai Khor menjelaskan dia tidak mahu dijadikan kambing hitam andai terus mengemudi The Red Worriors (TRW) dengan campur tangan 'orang luar'.
"Tugas saya adalah sebagai seorang jurulatih tetapi 'orang luar' mengganggu tugas saya.
"Sebelum ini ketika saya di Brazil, saya ditawarkan jawatan jurulatih. Jadi sebelum perkara lebih buruk berlaku baik saya undur diri," katanya.
Menjawab persoalan apa yang akan dilakukannya selepas ini, bekas juulatih Kedah dan Perak itu menjelaskan dia ingin berehat.
"Lagipun raya semakin dekat," katanya.
Peletakan jawatan Mohd Azraai Khor itu sekali lagi menyaksikan Kelantan berdepan kesulitan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Mohd Azraai Khor sebelum ini dilantik sebagi jurulatih TRW, mengambil alih tugas daripada George Boateng, sejak 24 Mac lalu.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB), Mohd Zaini Mohd Zain ketika dihubungi memberitahu, dia sudah menjangka perkara itu akan berlaku.
“Apa keadaan sekalipun, kita perlu hormati pendiriannya jika itulah keputusan dibuat jurulatih itu. Mungkin ini adalah jalan terbaik untuk Kelantan dan Mohd Azraai Khor sendiri sebenarnya cukup sayang terhadap pasukan ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment