Shah Alam - Polis menahan individu yang menamakan dirinya di laman Facebook sebagai Papagomo Original di Perak hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan perkara itu menerusi Twitternya.
“Syabas JSJ D5 @PDRMsia berjaya tangkap Papagomo Original di Perak,” tulisnya.
Sebelum ini, tersebar paparan skrin didakwa perbualan antara pengendali Facebook itu dengan Khalid yang menunjukkan beliau meminta rasuah sebanyak RM20,000 bagi menyelesaikan kesnya selepas ditahan Selasa lalu kerana didakwa terlibat dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat.
Namun perkara itu dinafikan Khalid dan siasatan dimulakan terhadap akaun Facebook 'Papagomo Original' yang didakwa memuat naik 'paparan skrin' yang didakwa sebagai perbualan antara beliau bersama pengendali.
Sebelum ini, seorang individu dikenali Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris dibebaskan dari tahanan polis pada Jumaat lalu.
Papagomo sebelum ini ditahan kerana didakwa memuat naik gambar seorang mangsa rompakan warga Melayu yang cedera, di media sosial dengan mendakwa bahawa ia sebagai mangsa pergaduhan di Plaza Low Yat.
Polis menahannya kerana didakwa tindakannya itu membangkitkan ketegangan kaum.
0 comments:
Post a Comment