Kuala Terengganu - Cubaan seorang penganggur membuang beg kecil yang disorokkan sebutir peluru tidak berhasil apabila dicekup polis, dalam satu kejadian di Jalan Air Puteh, Kemaman, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 pagi itu, suspek, 36, sebelum itu telah ditahan pihak polis kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek yang sedang berjalan kaki di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian bagaimanapun sempat mencampakkan sesuatu, dipercayai dadah sebelum ditahan.
“Namun, cubaan kali kedua untuk mencampakkan beg kecil miliknya gagal kerana kami sempat menahannya sebelum pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebutir peluru bersaiz 9 milimeter (mm) disorokkan di dalam beg berkenaan.
“Sejurus itu, kita terus merampas peluru tersebut dan seterusnya membawa suspek ke balai untuk siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat, termasuk bagaimana peluru itu diperoleh dan tujuan apa dia memiliki peluru berkenaan,” katanya.
Wan Abd Aziz berkata, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morphin.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
0 comments:
Post a Comment