Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 8, 2015

(KUANTAN) TEGAS KEKANG PENIAGA TAMAK

Tegas kekang peniaga tamak



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang akan menempatkan 185 anggota penguat kuasa di seluruh negeri bagi memantau harga barang sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang dilancarkan semalam.

Timbalan Pengarahnya, Alwi Abdul Hamid berkata, anggota penguat kuasa berkenaan turut melibatkan lima cawangan di negeri ini iaitu Raub, Jerantut, Temerloh, Rompin dan Bera.

Menurutnya, operasi akan dijalankan pada setiap hari bagi memantau harga barang kawalan yang ditetapkan.

“Saya ingin mengingatkan peniaga supaya meletakkan tanda harga barang kawalan dengan warna merah jambu bagi membezakannya dengan harga barang yang biasa.

“Menjadi satu kesalahan sekiranya peniaga gagal berbuat demikian dan boleh dikenakan kompaun RM50,000 atau penjara dua tahun,” katanya kepada media selepas Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa peringkat negeri Pahang, di sini, semalam.

Alwi berkata, hasil tinjauan ke Pasar Raya Nirwana mendapati harga ayam dijual di bawah harga kawalan.

“Ini menunjukkan khabar angin yang mengatakan harga akan naik adalah tidak benar. Kita merayu kepada peniaga agar meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual untuk mengelak pengguna keliru.

“Dalam masa sama, pengguna perlu melaporkan sebarang kecurigaan terhadap harga yang diletakkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, sebanyak 20 jenis barang diletakkan di bawah skim kawalan harga musim perayaan termasuk ayam standard, daging lembu, telur, cili merah, tomato, kubis bulat, ubi kentang, bawang merah, bawang putih dan kelapa.



0 comments:

share2