Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 25, 2015

(KUANTAN) KANAK-KANAK DISAHKAN HIDAP SAWAN SEPANJANG HAYAT


Kanak-kanak disahkan hidap sawan sepanjang hayat


Tidak ada apa yang diinginkan seorang bapa melainkan melihat anaknya dapat bermain dan hidup seperti kanak-kanak normal yang lain.

Sejak dilahirkan anak kecil, Nur A’asyifa Miasarah Khairul Azhar, 2, sering diserang sawan sehinggakan seluruh perhatian perlu diberikan kepadanya berikutan dia boleh diserang pada bila-bila masa tanpa mengira waktu.

Menurut bapanya Khairul Azhar Mohamed, 34, Miasarah dikesan mengidap sawan ketika berumur tiga bulan lagi apabila dia secara tiba-tiba tidak sedar diri.

“Pada mulanya memang agak mencemaskan apabila anak saya tidak sedarkan diri secara tiba-tiba di usia yang terlalu muda, tambahan pula dia tidak mengalami sebarang demam atau sakit yang boleh menyebabkan terkena sawan.

“Apabila saya kejarkannya ke hospital dan membuat beberapa pemeriksaan termasuk MRI, baru doktor dapat mengesan bahawa di badannya terdapat beberapa tompokan putih yang menyebabkannya terkena sawan.

“Kebiasaannya orang mempunyai tompok hitam pada kulit dan ia adalah normal kerana akan hilang apabila bayi membesar, namun di badan Miasarah terdapat beberapa tompokan putih dan setelah di X-Ray didapati ia sama seperti yang terdapat pada otaknya sekali gus mengganggu saraf hingga menyebabkan sering berlaku sawan ke atasnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu menurutnya, Miasarah tidak boleh terlalu penat, gembira, sedih, panas dan sebagainya kerana ia boleh mengganggu keadaan dirinya hingga berlaku sawan secara tiba-tiba.

“Dia diserang sawan pada bila-bila masa sekiranya terdapat perubahan pada dirinya dan pada waktu itu secara tiba-tiba dia boleh tidak sedarkan diri dan jatuh lebih kurang enam hingga 10 minit.

“Ada masa ia terjadi setiap hari, kadang-kadang seminggu sekali atau dua kali dan pernah juga beberapa bulan tidak diserang dan pada ketika serangan tersebut kita perlu memeluknya erat-erat kerana dia akan jatuh tidak sedarkan diri walaupun dia dalam keadaan bercakap dan perlu sedarkannya atau membawanya ke hospital.

“Disebabkan perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada Maisarah, isteri saya sanggup tidak bekerja dan hanya saya bekerja sebagai peniaga pasar malam dan ada kalanya tidak boleh berniaga kerana bergilir-gilir menjaga serta mengawasinya,” katanya.

Sementara itu, katanya demi memulihkan kesihatan Maisarah sudah banyak usaha dilakukan bukan sahaja secara moden malah tradisional.

“Apabila tahu tempat di mana boleh berubat saya dan isteri akan membawanya, berikutan keinginan untuk lihat dia seperti kanak-kanak normal walaupun doktor sudah memberitahu bahawa anak saya akan menghidapinya sepanjang hayat.

“Saya masih usaha dan tawakal serta memohon pada ALLAH SWT supaya penyakitnya sekurang-kurangnya boleh berkurangan, walaupun membabitkan kos yang begitu tinggi iaitu sekitar RM4,000 sebulan termasuk pemeriksaan susulan, makanan tambahan dan sebagainya.

“Setakat ini saya masih tidak putus harapan walaupun doktor mengesahkan penyakitnya itu kekal sehingga akhir hayatnya dan masih berusaha berubat samada secara moden atau tradisional kerana perjalanan hidupnya masih jauh,” katanya.

0 comments:

share2