Harapan sepasang suami isteri untuk berpindah ke rumah sewa baharu yang lebih selesa hanya tinggal harapan apabila rumah yang dijanjikan gagal diduduki sebaliknya deposit RM2,300 yang dibayar kepada pemilik tidak dipulangkan kembali.
Keterujaan mereka untuk mendiami rumah sewa di Taman Indera Sempurna, Jalan Kuantan- Pekan dekat sini yang diiklankan pemilik melalui laman web Mudah.com bertukar hampa setelah mula rasa tertipu.
Apa yang dikesalkan pengadu Mohd Shafie Omar, 34, lelaki yang mendakwa sebagai pemilik rumah itu bertugas sebagai anggota polis di sebuah balai di sini malah sanggup menyerahkan salinan kad kuasa sebagai jaminan terhadap tawarannya itu.
Menurutnya, sewa rumah dua bulan berserta deposit elektrik dan air berjumlah RM2,300 dibayar secara tunai pada 14 Mei lalu setelah dia dan isteri bersetuju untuk menyewa rumah tersebut.
“Bagaimanapun dia memberitahu, rumah tersebut masih ada penyewa dan meminta saya menunggu sehingga bulan Mei atau Jun sementara menunggu penghuni asal keluar.
“Kami ada ke rumah tersebut berdasarkan alamat yang diberikan namun hanya melihat dari luar memandangkan pintu pagar berkunci ketika itu,” katanya.
Dia berkata, disebabkan tempoh menunggu terlalu lama, mereka mengambil keputusan membatalkan niat untuk menyewa rumah tersebut dan menghubungi lelaki itu pada 18 Mei untuk meminta dia memulangkan kembali wang yang sudah dibayar.
“Anggota polis yang berpangkat Lans Koperal itu berjanji akan memulangkan balik wang tersebut pada 27 Mei namun pada tarikh tersebut dia gagal dihubungi.
“Bimbang kami menjadi mangsa tipu, satu laporan polis dibuat berhubung perkara tersebut,” katanya.
Mohd Shafie yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat konsesi lebuh raya berkata, lelaki itu terus mendiamkan diri dan gagal dihubungi sehingga 20 Mei apabila dia menjawab panggilan.
Berdasarkan panggilan yang dibuat di hadapan seorang pegawai tempatnya bertugas, dia berjanji akan memulangkan wang tersebut pada 16 Jun namun pada tarikh yang dijanjikan itu, dia gagal muncul untuk memulangkan wang tersebut.
“Saya nekad menemui pegawai atasannya memaklumkan perkara itu, dan hasil perbincangan, pegawai tersebut meminta saya menunggu bersamanya namun selepas dua jam dia tetap tidak muncul.
“Salah seorang pegawai meminta tempoh untuk dia menemui anggota bawahannya itu bagi berbincang perkara tersebut namun hingga ke hari ini (semalam) langsung tiada perkembangan malah lelaki itu juga gagal dihubungi,” katanya.
Menurutnya, dia ada viralkan kejadian yang menimpanya itu di facebook dan maklum balas yang diterima agak mengejutkan apabila ramai mendakwa pernah menjadi mangsa penipuan lelaki itu.
“Saya tidak pasti sama ada dakwaan mereka betul atau tidak namun sekiranya benar-benar berlaku, tindakan patut diambil terhadap lelaki itu memandangkan laporan polis juga sudah dibuat terhadapnya.
“Sebagai penjawat awam, apatah lagi anggota polis dia tidak sepatutnya menggunakan kuasa dimiliki untuk memperdaya orang ramai,” katanya.
Dia berkata, perkara itu sudah dipanjangkan ke polis Bukit Aman untuk tindakan lanjut bagaimanapun ruang tetap diberikan kepada lelaki itu untuk tampil memulangkan wang tersebut dalam masa terdekat.
0 comments:
Post a Comment