Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 15, 2015

(KUANTAN) 6,395 PESERTA FELCRA TERIMA BERITA GEMBIRA


Rodzuan Zaaba


Seramai 6,395 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad negeri ini menerima berita gembira menjelang hari raya kerana akan menerima duit raya sebanyak RM300 bermula semalam.

Bagi Ketua Peserta Felcra Gugusan Cincin, Raub, Abd Rauf Mohd Rawi, 65, berkata dia bersyukur selepas mendapat khabar gembira itu dan impian menerima duit raya menjadi kenyataan.

Menurutnya, walaupun duit raya sebanyak RM300 dianggap kecil oleh sesetengah pihak namun sebagai warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap ia begitu bermakna untuk digunakan menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi.

“Dengan wang sebanyak itu peserta yang terdiri daripada golongan veteran pastinya menganggap ia pemberian yang besar.

“Sekurang-kurangnya boleh membeli ayam, daging dan kuih selain dijadikan duit raya untuk cucu yang akan pulang ke kampung setiap kali musim perayaan,” katanya.

Bagi Rodzuan Zaaba, 46, yang juga ketua peserta Felcra Bahala Gantang, Temerloh, berkata, dia lega apabila isu berkenaan berakhir dengan baik.

“Saya yakin, tanpa campur tangan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, masalah berkaitan dividen interim dan wang tabung CSR Felcra tidak akan selesai kerana peserta tetap dengan keputusan menuntut hak mereka untuk kegunaan menjelang Aidilfitri.

“Saya dimaklumkan bayaran duit raya RM300 akan dilakukan esok (Rabu),” katanya.

Sebelum ini lembaga pengarah Felcra memutuskan mereka terbabit tidak layak menerima dividen interim 1/2015 dan wang tabung tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felcra berikutan 145 projek kelapa sawit dan getah yang diusahakan agensi berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM6.472 juta.

Namun kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar mengeluarkan arahan supaya semua peserta terbabit turut akan menerima RM300 daripada Tabung Wilayah yang dibayar secara tunai bermula semalam.

0 comments:

share2