Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 6, 2015

KUANTAN: 5 REMAJA DITAHAN DALAM OPS RODA TRAFIK



Lima remaja antara penunggang dan pemandu yang dikenakan tindakan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan peraturan jalan raya hasil Ops Roda Trafik daerah Kuantan yang dijalankan di Bukit Rangin di sini, awal pagi semalam.

Remaja terbabit didapati menunggang motosikal dipercayai milik keluarga tanpa lesen selain tanpa perlindungan insurans.

Hasil operasi bermula jam 12 tengah malam hingga jam 6 pagi itu juga, polis mengambil tindakan sitaan ke atas 39 buah motosikal manakala 85 saman dikeluarkan kepada pemandu dan penunggang atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, operasi melibatkan seorang pegawai dan lapan anggota dibantu 39 anggota Pasukan Sukarelawan Polis memberi tumpuan kepada pemandu dan penunggang yang terus berdegil melanggar peraturan jalan raya.

Menurutnya, hasil operasi selama hampir enam jam itu, kesalahan yang mencatatkan jumlah tertinggi adalah menunggang dan memandu tampa lesen iaitu sebanyak 40 kes (37 penunggang dan tiga pemandu kereta).

“11 kes melibatkan kesalahan penggunaan nombor pendaftaran motosikal tidak mengikut standard ditetapkan termasuk sebuah kereta.

“Tindakan saman turut dikeluarkan kepada 10 penunggang yang menunggang motosikal tanpa cukai jalan diikuti 10 saman kerana kesalahan penggunaan ekzos bising (lapan kereta dan 2 motosikal),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, daripada jumlah saman yang dikeluarkan juga, lima kes melibatkan penunggang bawah umur, empat kes tidak menampal pelekat P dan satu kes tidak memasang cermin sisi motosikal.

“Kita juga turut mengambil tindakan ke atas pemandu empat buah kereta yang didapati melakukan gangguan lalu lintas,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan bersama kenderaan yang disita dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut.

0 comments:

share2