Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 6, 2015

MAUT KENA TETAK BERTUBI-TUBI


Maut kena tetak bertubi-tubi


Chemor – Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan tujuh kesan tetakan di kepala dan kedua-dua tangan di sebuah lorong di Laluan Klebang Restu 1, Medan Klebang Restu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Gobinathan, 45, dipercayai dikejar seorang lelaki bersenjatakan parang selepas keluar dari sebuah kedai di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati, mangsa ditetak secara bertubi-tubi oleh dua penjenayah menaiki motosikal yang mengejarnya sejauh 100 meter dari kedai terbabit.

“Seorang daripada suspek yang juga pembonceng motosikal bertindak menetak mangsa ketika mangsa lari menyelamatkan diri melalui lorong di belakang deretan kedai di laluan ini.

“Walaupun ditetak, mangsa cuba menyelamatkan diri dengan berlari sejauh 80 meter sebelum rebah berhampiran longkang.

"Mangsa disahkan mati oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan beliau menolak kejadian itu bermotifkan samun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. Lima saksi kejadian telah diambil keterangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

0 comments:

share2