"Hati-hati lalu Gua Tempurung tu, jangan leka,” peringatan itu tidak pernah lupa disampaikan kepada penulis setiap kali mahu menggunakan lebuh raya untuk ke Ipoh.
Jarak lokasi rumah di Tapah dan pejabat di Ipoh menyebabkan ada ketikanya, penulis perlu menggunakan lebuh raya untuk memastikan dapat tiba pada waktu dijanjikan.
Laluan Gopeng-Gua Tempurung bukan asing lagi bagi pengguna lebuh raya dalam jajaran negeri Perak.
Dikelilingi hutan dan kawasan gunung, boleh dikatakan sepanjang laluan ini banyak dilitupi kawasan cerun dan gaung.
Pemanduan pada waktu siang mungkin memberi ilusi yang menyegarkan mata apabila dilatari dengan keindahan alam semula jadi.
Berbeza pada waktu malam, keadaan gelap menghadirkan rasa sunyi dan lengang kepada sesiapa sahaja yang melaluinya.
Tersenarai lokasi maut
Muka bentuk laluan yang mendaki dan menurun sepanjang 5 kilometer bermula di Kilometer 301 ini sebenarnya menuntut pemanduan yang bukan sahaja teliti tetapi peka dengan keadaan sekeliling.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laporan tahunan 2013 telah menyenaraikan 10 lokasi kawasan hitam di seluruh negara yang berbahaya kerana sering berlaku kemalangan.
Turut tersenarai adalah Lebuhraya Utara – Selatan (Plus) KM293.7 Gopeng – Simpang Pulai.
LLM memaklumkan, secara statistik keseluruhannya, kerja-kerja penambahbaikan lokasi kerap berlaku kemalangan telah berjaya membantu mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 48.90 peratus (89 kes) berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ia melibatkan skop mitigasi seperti penurapan semula permukaan jalan dengan kaedah micro surfacing bagi meningkatkan tahap cengkaman tayar, pemasangan alat keselamatan seperti papan tanda amaran, solar flashing amber light, road studs, rumble strip, yellow tranverse bar dan sebagainya.
Kerja-kerja penambahbaikan di semua lokasi telah siap dengan sasaran untuk mengurangkan kadar kemalangan melalui intervensi bersesuaian berdasarkan kepada permasalahan di lokasi.
Bagaimanapun, langkah serta intervensi yang bersesuaian akan terus dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu meminimumkan risiko dan mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya.
Pada 2013, jumlah trafik yang dicatatkan menggunakan lebuh raya bertol di Malaysia adalah sebanyak 1,641.37 juta.
Jumlah ini telah meningkat sebanyak 4.72 peratus berbanding 2012 iaitu sebanyak 1,567.35 juta trafik.
Bagi laluan Lebuhraya Utara Selatan sahaja, berlaku peningkatan sebanyak 3.13 peratus.
Antara faktor penyumbang kepada pertambahan dalam jumlah trafik di lebuh raya ini adalah seperti kemudahan dan keselesaan yang disediakan di lebuh raya, kestabilan ekonomi rakyat, peningkatan jumlah kenderaan dan pemandu berdaftar, pembangunan projek perumahan berhampiran lebuh raya serta sambungan strategik lebuh raya dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.
25 kematian sepanjang 5 tahun
Sepanjang tempoh lima tahun ini, sebanyak 25 kematian direkodkan berlaku di sepanjang Kilometer (KM) 301 hingga 306 berhampiran Gua Tempurung.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, statistik kemalangan menunjukkan kadar tidak menentu di kawasan terbabit di mana tahun 2012 mencatatkan 12 kes kemalangan maut berbanding tahun sebelumnya hanya mencatatkan dua kemalangan di kawasan terbabit.
“Hasil laporan juga menunjukkan kadar kemalangan menurun semula kepada empat kes kemalangan maut pada 2013 dan kembali meningkat kepada tujuh kes kemalangan maut pada 2014,” katanya.
Jelasnya, dengan penambahbaikan yang dilakukan di kawasan terbabit, sehingga Mei ini, hanya satu kemalangan maut dicatatkan di kawasan tersebut membabitkan seorang pemandu lori berusia 42 tahun di KM305 arah utara.
Beliau berkata, berdasarkan kajian dibuat, kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu atau memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan kepada dirinya mahupun orang lain.
Katanya, Perak mempunyai lebuh raya terpanjang di negara dengan jajaran melebihi 217 kilometer dan ia memerlukan pemandu untuk mempunyai rehat secukupnya.
Menurutnya, tidak seperti di laluan lain yang mempunyai had laju sehingga 110km/j, laluan di Gua Tempurung hanya membenarkan kelajuan 90km/j.
“Kelajuan memandu itu perlu ditekankan kerana lebuh raya kita mempunyai had kelajuan sehingga 110km/j, namun setibanya di kawasan Gua Tempurung, pemandu perlu membawa sehingga 90km/j kerana struktur jalan menaik dan menuruni bukit,” katanya.
Sebagai langkah kawalan keselamatan, pihaknya mencadangkan agar rumble strip ditambah pada laluan terbabit sebagai amaran kepada pemandu untuk lebih berhati-hati ketika menuruni bukit di kawasan itu.
Beliau turut mengingatkan kepada pemandu untuk tidak menggunakan lorong kecemasan ketika terlibat dalam kesesakan jalan raya.
Apabila memandu tidak mengikut peraturan dan tidak mengamalkan nilai-nilai murni di jalan raya, ia mungkin menyebabkan kesusahan kepada orang lain,” katanya.
Misi menyelamat perlu fokus
Kebiasaannya, operasi menyelamat nahas di KM301 hingga KM306 dikendalikan Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dan Gopeng. Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Yahaya Madis berkata, pihaknya mengakui terdapat kesulitan dalam menjalankan operasi menyelamat mangsa di kawasan terbabit memandangkan persekitaran dan fizikal jalan yang menuntut anggotanya lebih fokus.
Menurutnya, keadaan gelap tanpa pencahayaan ditambah dengan pergerakan trafik yang laju kerana jalan menuruni bukit membuatkan anggota perlu berhati-hati.
“Anggota kita perlu mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang telah disediakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat,” katanya. Yahaya memberitahu, kemalangan membabitkan mendiang Karpal Singh memberi cabaran kerana membabitkan orang politik yang dikenali, selain di kawasan yang berbahaya di mana tiada kemudahan lampu jalan ketika itu.
“Dalam kejadian jam 1.30 pagi di KM301.6 itu, turut mengorbankan pembantu peribadinya iaitu Michael Cornelius.
"Operasi dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan dibantu balai Tapah.
“Pihak Bomba, ambulans serta polis mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan operasi namun, ia dapat diselesaikan dengan lancar dan selamat,” katanya.
Selain itu, Yahaya berkata, jarak antara Hentian Rehat Simpang Pulai dan Tapah sejauh 40 kilometer mungkin memberi kesan kepada kualiti pemanduan terutama pada waktu malam.
Pemanduan selama hampir sejam antara dua hentian itu memberi kesan kepada pemandu terutama ke arah utara berikutan tiada hentian sebelah Gua Tempurung berbanding arah selatan.
“Diharapkan pemandu lebih bersedia untuk memulakan perjalanan sebelum tiba ke destinasi. Persediaan yang sempurna termasuk kenderaan dan diri sendiri akan menjamin keselamatan pemandu dan penumpang,” katanya.
Bagaimanapun, Yahaya berkata, statistik kemalangan yang direkodkan sejak lima tahun lalu menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun sekali gus membuktikan taraf kesedaran pemandu adalah meningkat.
“Selain peningkatan tahap kesedaran pengguna jalan raya, struktur jalan dan kemudahan juga dilihat telah dinaiktaraf seperti pelebaran jalan, penyelenggaraan dari semasa ke semasa dengan tambahan papan tanda keselamatan.
“Dapat dilihat, penambahan lampu jalan di kawasan sepanjang lima kilometer itu turut yang menyumbang penurunan kadar kemalangan,” katanya.
Jelasnya, faktor kecuaian, kelajuan, faktor alam semula jadi dan fizikal penyumbang kepada kemalangan jalan raya. “Memang tidak dapat dinafikan, kemalangan turut berlaku pada waktu kemuncak aliran trafik pada cuti sekolah.
Faktor lain menyebabkan kemalangan adalah keadaan jalan yang lurus serta keadaan jalan licin semasa hujan,” katanya
Gua Tempurung adalah kawasan mendaki dan laluan ini terutama pada waktu malam akan dipenuhi dengan kenderaan berat seperti lori dan treler. tinasi. Persediaan yang sempurna termasuk kenderaan dan diri sendiri akan menjamin keselamatan pemandu dan penumpang,” katanya.
Gua Tempurung dan gangguan mistik
Berikutan kekerapan kemalangan yang berlaku di laluan Gopeng-Gua Tempurung, ada pihak mengaitkan dengan peristiwa mistik dan gangguan makhluk halus yang berkemungkinan membawa nahas berlaku.
Yang terbaharu adalah kaitan gangguan puaka Gua Tempurung yang dikatakan menjadi punca kemalangan membabitkan mendiang Karpal Singh, April tahun lalu.
Memetik sebuah blog, kawasan sekitar laluan Gua Tempurung itu memang terkenal dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu pemandu kenderaan terutamanya pada sebelah malam.
“Mengikut pandangan saya bomoh, kemalanganyang menimpa Ahli Parlimen Bukit Gelugor ini adalah disebabkan gangguan dari puaka Gua Tempurung,” katanya sejurus selepas melakukan ritual ‘menghalau puaka’ di tempat kemalangan ngeri itu.
Pengalaman berdepan dengan peristiwa mistik ini juga sebenarnya menjadi perkongsian dalam media sosial apabila ramai pengguna yang menulis pengalaman menakutkan masing- masing ketika melalui lokasi ini.
Antara yang sempat ditinjau adalah pengalaman seorang lelaki yang bertembung dengan kereta jenazah ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh untuk menguruskan ayahnya yang meninggal dunia.
Diceritakan, terdapat sebuah kereta jenazah berwarna hijau memecut laju dan memotong kenderaannya di dua lokasi yang sama pada malam itu.
Anehnya, ketika memotong, terdapat lampu spotlight jelas menyuluh ke arah bonet van jenazah itu hingga pemandu berkenaan dapat melihat ada dua individu sedang duduk di bangku belakang di sisi jenazah.
0 comments:
Post a Comment