Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 12, 2015

BILIK KHAS VIP: MAIN JUDI SAMBIL BERURUT


Bilik khas VIP: Main judi sambil berurut


Kuala Lumpur - Hanya sediakan wang taruhan sekurang-kurangnya RM1,000, sebuah pusat judi siber di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, di sini, didapati menawarkan bilik khas VIP yang turut dilengkapi dengan kerusi urut untuk aktiviti haram itu.

Aktiviti berkenaan terbongkar setelah premis yang turut menawarkan pusat karaoke keluarga dan snuker itu, diserbu 300 anggota pelbagai agensi menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) siri 14, awal pagi tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan, berkata, meskipun premis hiburan berkenaan berlesen yang tamat pada 2016, aktiviti perjudian yang dilakukan sama sekali tidak dibenarkan dan jelas menunjukkan pengusaha premis menyalahgunakan lesen.

"Kita akan tarik balik lesen kerana telah salah guna kebenaran yang diberikan untuk beroperasi sebagai premis hiburan.

"Tindakan ini dilakukan setelah risikan selama dua minggu. Ini juga merupakan pusat judi terbesar yang kita kenal pasti sepanjang Ops Bah dilakukan," katanya pada sidang media ketika ditemui pada operasi berkenaan. 

Tambah beliau, dalam operasi secara bersepadu itu, sejumlah 76 set komputer mengandungi perisian judi dalam talian, dirampas.

"Hasil tindakan kastam juga berjaya merampas arak import bernilai RM4,950 dan 165 karton pelbagai jenis. Sejumlah 19 orang warga asing juga ditahan pihak imigresen atas kesalahan tiada dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Mohd, berkata, pihaknya menahan seorang remaja bawah umur turut berada dalam premis berkenaan.

"Jawi turut mengeluarkan enam notis perintah hadir kepada umat Islam yang berada dalam premis ini. Mereka tidak sepatutnya berada di sini pada bulan Ramadan, apatah lagi 10 malam terakhir ini," katanya.

0 comments:

share2