Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 3, 2015

UNICEF BERI AMARAN


Unicef beri amaran


Baghdad - Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memberi amaran terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Iraq selepas sebahagian besar wilayah di negara itu berada di bawah cengkaman kumpulan militan IS.

"Krisis kemanusiaan di negara itu hampir menjadi satu bencana terburuk! Kami amat memerlukan sumber tambahan untuk meneruskan bantuan kepada penduduk yang terjejas," kata wakil agensi antarabangsa itu di Baghdad, Philippe Heffinck.

Menurutnya lagi, Unicef akan melancarkan rayuan dana berjumlah AS$500 juta (RM1.8 bilion) di Brussels pada esok. 

"Dana yang diperoleh itu akan digunakan dalam operasi bantuan untuk tempoh enam bulan akan datang. Saya berharap negara antarabangsa dapat menghulurkan bantuan untuk meringankan beban penduduk di Baghdad," katanya lagi.

Laporan Unicef menunjukkan kira-kira lapan juta penduduk memerlukan bantuan segera sejak krisis tersebut mula memuncak pada Jun tahun lalu.

Pada bulan lalu, Penyelaras Agensi Kemanusiaan PBB di Iraq, Lise Grende menggesa badan antarabangsa termasuk Program Makanan Sedunia (WFP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya meningkatkan tahap sokongan mereka untuk membantu penduduk di negara bergolak tersebut.

0 comments:

share2