Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 17, 2015

PR TERKUBUR, LANDSKAP POLITIK NEGARA BAKAL BERUBAH


Hishammuddin Tun Hussein


Kuala Lumpur - Krisis dalaman yang melanda Pakatan Rakyat telah sampai ke kemuncak hari ini apabila DAP mengisytiharkan gabungan pembangkang yang dibentuk pada 1 April 2008 tidak lagi wujud.

DAP mengumumkan menerima keputusan Muktamar Pas meluluskan usul memutuskan hubungan dengan sekutunya itu telah menamatkan riwayat Pakatan Rakyat.

Perubahan terbaru dalam senario politik gabungan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Pas bakal mengubah landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sering kali berkata pakatan mereka terlalu rapuh.

"Ini bukan perkara baharu. Saya telah nyatakan berkali-kali sebelum ini bahawa pakatan mereka terlalu rapuh. Tidur sebantal, mimpi lain-lain," katanya dalam catatan tweet hari ini.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berpendapat kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR juga patut dibubarkan. 

"Kalau begitu kerajaan negeri Selangor juga patut dibubarkan. It is politically no longer tenable. (Ia adalah dari segi politik tidak lagi dipertahankan)," kata Khairy dalam tweetnya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah menjangkakan Pakatan Rakyat akan bermasalah dan bergaduh kerana tidak mempunyai kesepakatan dalam pelbagai isu berbangkit.

"Pakatan Rakyat tidak relevan kami sudah menjangkakannya...mereka digabungkan menjadi satu sekutu semata-mata untuk PRU13 dan memperjuangkan prinsip (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk menawan Putrajaya.

"Tapi nampaknya mereka bukan sahaja tidak berjaya sampai ke Putrajaya malah sudah bergaduh sesama sendiri," kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu ketika diminta mengulas mengenai pengumuman tersebut.

0 comments:

share2