
Kuala Lumpur - Susulan penangkapan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Justo, baru-baru ini, Gerakan mengingatkan masyarakat bahawa perbuatan mencuri data tidak boleh dibiarkan.
Naib presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, penyalahgunaan maklumat yang belum disahkan kesahihannya oleh laman pemberi maklumat atau ahli politik dalam melempar tuduhan adalah salah, tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan awam.
"Saya percaya fakta-fakta dan maklumat putar belit yang digunakan oleh laman pemberi maklumat sekarang perlu menjalani pengesahan kredibiliti yang ketat," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya pengkritik harus meminta maaf dan menarik balik tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Isnin lepas, Justo, warganegara Switzerland, ditangkap di Thailand kerana dikatakan membocorkan maklumat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya percaya maklumat yang sahih adalah penting dalam memenuhi kepentingan awam. Cara menyalahi undang-undang untuk memperoleh dan mengubah maklumat menimbulkan persoalan undang-undang dan etika yang serius," kata Lau.
Justo dituduh cuba melakukan peras ugut dan ugutan terhadap bekas majikannya berhubung maklumat e-mel milik PetroSaudi dengan siasatan awal menunjukkan bahawa beberapa e-mel bocor telah diubah suai.
PetroSaudi, syarikat industri minyak dan gas antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi, menjadi perhatian di Malaysia kerana pernah mengadakan kerjasama dengan 1MDB.

0 comments:
Post a Comment