Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 2, 2015

PASTIKAN GST TIDAK DITAMBAH SST

Pastikan GST tidak ditambah SST




PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpukan pemeriksaan terhadap 557 barangan yang sebelum ini dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 10 peratus jika ia dikenakan cukai berganda dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, jumlah tersebut merangkumi pelbagai barangan dan operasi itu akan bermula hari ini.

“Ia termasuklah barangan makanan, elektrik, pakaian dan sebagainya. Kita mahu semak sama ada peniaga turunkan harga atau tidak sebab jika ditolak SST 10 peratus dan ditambah GST enam peratus, sepatutnya ada penurunan empat peratus

“Kita akan periksa sama ada peniaga menurunkan harga ataupun tidak,” katanya dalam sidang media berkaitan GST bersama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam, di sini, semalam.

Alias berkata, pemeriksaan tersebut merupakan langkah bagi memastikan hak pengguna terjamin.

Katanya, pemeriksaan akan dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara.

“Pihak penguat kuasa kementerian bersedia untuk memeriksa premis dan barangan yang telah dikenal pasti,” katanya.

Alias turut menafikan dakwaan mengenai kerajaan gagal mengawal harga barang.

“Ia tidak betul. Harga kawalan seperti setengah barangan iaitu minyak masak dan sebagainya telah digazetkan agar peniaga tidak menjual melebihi harga ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, KPDNKK akan memastikan peniaga tidak menaikkan margin keuntungan melebihi yang ditetapkan selama 18 bulan bermula Januari 2015.

“Kami tidak kejam terhadap peniaga dan pengguna, tetapi berlaku adil untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Alias berkata, sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu, KPDNKK telah membuka 54 kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, tiga kes telah dikompaun sebanyak RM10,000; sembilan kes telah dibicarakan; lima kes mengaku salah dengan jumlah denda sebanyak RM230,000; empat kes mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan; dan selebihnya dalam peringkat akhir siasatan sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa KPDNKK pilih kasih dalam membuat penguatkuasaan dan hanya tertumpu kepada beberapa jenis perniagaan sahaja seperti peruncit, pasar dan restoran.

“Ada persatuan restoran kata kita pilih kasih. Tidak. KPDNKK membuat pemeriksaan berdasarkan aduan yang diterima.

“Contohnya ada restoran jual lima batang kacang bendi RM20 jadi kami keluarkan notis. Ada yang jual dua jag air tebu RM50. Ada juga jual air kosong segelas RM2.50. Jadi bila terima aduan kami kena siasat,” katanya.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 393,335 premis telah diperiksa di bawah Ops Catut dan KPDNKK akan meneruskan pemeriksaan memandangkan ia cara terbaik bagi memastikan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dipatuhi peniaga.

Sementara itu, Subromaniam menyeru kepada syarikat agar mengemukakan penyata bersama pembayaran.

“Jika syarikat tersebut gagal berbuat demikian sehingga 31 Mei lepas, mereka mempunyai masa sehingga dua minggu sebelum berdepan dengan tindakan undang-undang jenayah serta sivil,” katanya.



0 comments:

share2