
“Saya memilih perkhidmatan bas RapidKuantan untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari kerana jadual perjalanannya yang sistematik, cepat dan paling penting tambang berpatutan membantu menjimatkan perbelanjaan.
“Saya menggunakan perkhidmatan ini sejak ianya diperkenalkan pada 2012 sehingga kini,”kata kakitangan sebuah hospital swasta di sini, Anita Ahmad, 41.
Anita yang tinggal di Taman Impian, Jalan Sungai Lembing dekat sini menjadi penumpang pertama menggunakan Kad MyRapid yang dilancarkan RapidKuantan sebagai sistem pembayaran tanpa tunai bermula semalam.
Menurutnya, Kad MyRapid yang diperkenalkan satu kemudahan kepada penumpang sepertinya justeru dia merebut peluang membelinya selepas mula dijual pada 25 Mei lalu.
“Perkhidmatan ditawarkan RapidKuantan ini banyak membantu saya dan penumpang lain merancang perjalanan harian sama ada ke tempat kerja atau ke bandar ini untuk urusan lain.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2012 sehingga sekarang, saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan RapidKuantan kerana dan amat menjimatkan apatah lagi dengan adanya kad ini, penumpang menikmati diskaun 20 peratus,” katanya.
Menurutnya, dia juga membelikan kad konsesi pelajar untuk anak-anaknya kerana banyak keistimewaan ditawarkan untuk pelajar bawah 17 tahun.
“Saya terkejut apabila dihubungi pihak RapidKuantan memberitahu supaya hadir ke majlis pelancaran Kad MyRapid ini kerana menjadi penumpang pertama yang menggunakannya.
“Pagi tadi saya tergerak hati untuk ke bandar Kuantan menaiki bas pertama seawal jam 6 pagi dan menggunakan kad ini yang diberi beberapa hari lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi RapidKuantan, Zainurul Hakim Mohamad berkata, sambutan penumpang terhadap kad MyRapid amat menggalakkan.
Menurutnya sejak dijual bermula 25 Mei lalu, sebanyak 1,000 keping sudah terjual dan jumlah itu dijangka terus meningkat selepas ia dilancarkan dan mula digunakan semalam.
“Penumpang perlu rebut peluang menggunakan kemudahan ini kerana banyak keistimewaan ditawarkan termasuk diskaun 20 peratus untuk dua bulan manakala 10 peratus potongan diberikan secara berterusan kepada pengguna Kad MyRapid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi kad tersebut yang turut dihadiri Pengurus Projek Kumpulan PRASARANA, Mohd Firdaus Idris dan Pengarah Operasi GMV Sistemas, Antonio Abascal Lagunas.
Zainurul berkata, kad yang dijual dengan harga RM20 itu boleh ditambah nilai dengan jumlah RM10 hingga RM300.
“Pada masa yang sama, kita memperkenalkan kad konsesi untuk pelajar bawah 17 tahun dan warga emas dan orang kelainan Upaya (OKU).
“Kad tersebut perlu didaftarkan di Kaunter Pendaftaran Pelanggan di Hentian Rapid Kuantan manakala permohonan untuk tambah nilai dan kad konsesi juga perlu dilakukan di kaunter sama,” katanya.
“Untungnya, pemegang Kad MyRapid ini boleh menggunakan kemudahan itu di dalam bas , LRT dan Monorail di bawah kendalian RapidKL serta RapidRail Sdn Bhd.
“Walaupun kad ini diperkenalkan, penggunaan kad Touch n Go masih boleh digunakan dalam bas RapidKuantan cuba bezanya, buat masa sekarang tiada potongan diskaun tambang bagi penggunaan kad itu,” katanya.

0 comments:
Post a Comment