Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 16, 2015

KUALA LIPIS: 46 PELAJAR POLITEKNIK DAPAT RM 1,500


46 pelajar politeknik dapat RM1,500


Seramai 46 pelajar di daerah Lipis yang menerima tawaran pengajian masing-masing di semua politeknik mulai bulan ini menerima wang pendahuluan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM69,000.

Masing-masing menerima wang bernilai RM1,500 yang disempurnakan penyampaiannya oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad, di Dewan Umno Bahagian Lipis di sini.

Abdul Rahman berkata, wang itu diberikan kepada pelajar politeknik daerah ini untuk membuat persiapan awal berbelanja keperluan tertentu sebelum memulakan sesi pengajian semester pertama di institusi berkenaan.

“Kerajaan begitu prihatin menyediakan wang pendahuluan untuk meringankan beban ibu bapa yang rata-ratanya mempunyai tanggungan ramai selain untuk keselesaan pelajar membuat persiapan menghadapi pengajian masing-masing.

“Pemberian wang ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka khususnya dalam kalangan keluarga yang berpendapatan sederhana di luar bandar,” katanya selepas majlis berkenaan, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pemberian pinjaman berkenaan juga menzahirkan tanggungjawab sosial kerajaan selari dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk kemudahan penuntut mengikuti pengajian di semua pusat pengajian tinggi antara misi dan visi bagi melahirkan ramai golongan cerdik pandai yang mahir untuk memacu pelbagai bidang pembangunan pada masa akan datang.

“Komitmen kerajaan menerusi pinjaman PTPTN ini untuk kebajikan penduduk khususnya penuntut semua pusat pengajian tanpa mengira kaum, etnik dan kepercayaan politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta pelajar melunaskan kembali pinjaman PTPTN mengikut syarat yang ditetapkan selepas menamatkan pengajian kelak untuk kemudahan rakan mereka yang lain bagi menyambung pelajaran mereka.

Menurutnya, kelewatan membayar balik pinjaman selepas memperoleh pekerjaan dan bergaji tetap memberi impak kekurangan dana PTPTN dan sukar bagi jabatan itu memberi pinjaman kepada mereka yang baharu membuat permohonan.

0 comments:

share2