Telok Mas – Tiga peniaga pasar malam di sini cedera akibat terkena besi khemah yang diterbangkan angin susulan ribut, malam semalam.
Kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu dikatakan berlaku amat pantas sehingga menyebabkan rata-rata peniaga tidak sempat menyelamatkan barang perniagaan.
Mangsa, Mohd Mudzahar Ahmad, 35, berkata, sewaktu kejadian mereka sedang mengemas barang selepas habis berniaga.
“Tiba-tiba datang angin kuat macam kepala angin, sekelip mata saja saya tengok khemah sudah terangkat hingga 20 meter.
“Habis khemah tercampak sana sini dan ada satu khemah hampir terkena peniaga tapi saya sempat menjerit suruh beralih,” katanya yang menjual pakaian.
Dia memberitahu rakannya berusia 30-an mengalami luka di kaki dan difahamkan seorang peniga turut luka di kaki segera ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, Mohd Mudzahar yang cedera di bahagian kepala, belakang badan dan lutut dihantar ke Hospital Melaka oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri.
Seorang lagi mangsa, Zulkifli Ismail, 39, berkata, semasa kejadian mereka bergegas menyelamatkan diri di premis perniagaan bersebelahan kerana khuatir dihempap khemah.
“Angin kencang datang sekali gus, khemah tiba-tiba berpusing dan terangkat, memang kami kelam-kabut sampai barang pun tak sempat nak diselamatkan.
“Khemah kami rosak teruk dan paling sedih dalam dua atau tiga kereta peniaga juga dihempap khemah,” katanya.
Bagi mangsa, Mukmin Tawil, 45, kejadian ribut malam semalam dianggap paling teruk.
“Kami reda dengan takdir Allah dan bersyukur kerana tiada peniaga cedera parah,” katanya.
Difahamkan, lebih 200 orang berniaga di pasar malam berkenaan setiap Isnin itu menggunakan khemah 10x10 dan saiz 20x20 yang didirikan di tapak lokasi itu untuk persediaan pasar Ramadan juga rosak teruk.
Peniaga tidak menolak kemungkinan jumlah kerugian mencecah puluhan ribu ringgit akibat kerosakan khemah dan barangan perniagaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, beliau maklum mengenai kejadian berkenaan dan segera mengadakan mesyuarat untuk membantu peniaga.
“Saya sudah mendapat laporan mengenai kejadian ribut ini dan saya bersama pegawai serta pemimpin setempat akan mengadakan pertemuan untuk membantu mereka,” katanya.
0 comments:
Post a Comment