
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menjadikan sukan sebagai budaya dalam usaha meningkatkan kecergasan fizikal anggota dan pegawai kerana ia berkait dengan bidang tugas seharian sebagai pasukan penyelamat.
Elemen sukan sentiasa diterapkan dalam setiap latihan harian dengan menggabungkan aktiviti jasmani dan latihan kebombaan.
Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sukan bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan fizikal dan membentuk penampilan menarik sebaliknya menjadi platform membina jati diri tinggi di kalangan pegawai dan anggota.
Menurutnya, ke arah mencapai matlamat itu, JBPM menjadi sukan sebagai satu keutamaan dengan menyediakan kemudahan lengkap untuk aktiviti senaman dan bersukan.
“JBPM Pahang satu-satunya yang memiliki kemudahan gelanggang futsal untuk kegunaan anggota selain gelanggang untuk sukan ‘indoor’ dan ‘outdoor’ di setiap balai.
“Kita juga ada menyediakan gimnasium di setiap balai memandangkan ramai di kalangan anggota dan pegawai berminat dalam sukan bina badan,” katanya.
Abdul Wahab berkata, budaya bersukan penting supaya masalah berat badan di kalangan warga JBPM Pahang dapat ditangani.
“Sebagai anggota sebuah pasukan penyelamat, penampilan fizikal cukup penting kerana ia mencerminkan imej pasukan dalam meyakinkan tanggapan masyarakat terhadap keupayaan anggota terhadap perkhidmatan,” katanya.
Menurutnya, anggota dan pegawai yang berbakat dalam sukan di beri peluang mengikuti pertandingan yang dianjurkan sama ada di peringkat pasukan atau anjuran luar.
“Di peringkat ibu pejabat, latihan kecergasan fizikal akan dilakukan setiap pagi Jumaat termasuk aktiviti senamrobik, joging dan sebagainya.
“Menariknya, dalam sesi latihan ini, ada kalanya kita turut menggunakan alat kelengkapan bomba yang bersesuaian sebagai peralatan dalam senaman,” katanya.
Beliau berkata, antara peralatan yang sering digunakan termasuk alat bantuan pernafasan yang dipakaikan kepada anggota ketika berlari dan bersukan.
“Hasilnya, melalui teknik ini, ia membantu menguji tahap ketahanan ketahanan dan pernafasan anggota.
“Pada masa yang sama, ia menimbulkan elemen ‘lucu’ dan keseronokan bagi menghilangkan tekanan,” katanya.

0 comments:
Post a Comment