Masyarakat diingatkan sentiasa bersatu padu dan mengelakkan perpecahan bagi membangunkan agama, bangsa dan negara.
Ingatan terbabit disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam memberi respons terhadap perpecahan yang berlaku pada masa kini sama ada melibatkan parti politik atau bangsa Melayu.
Menurutnya, perpecahan terbabit tidak akan memberi faedah kepada umat Islam sebaliknya akan merugikan masa depan rakyat dan negara.
“Janganlah kita terlalu mudah mengikut telunjuk sebilangan mereka yang berkepentingan. Akhirnya kita akan menjadi mangsa keadaan dan menjadi hamba di tanah air sendiri.
“Tidak ada gunanya kita berbalah atau berpecah belah kerana ia hanya akan menyebabkan kita lemah dan tertindas seperti kata peribahasa bersatu teguh bercerai kita roboh,” titahnya.
Tengku Abdullah dalam pada itu hadir ke majlis berbuka puasa bersama masyarakat tempatan di Masjid Bentong di sini kelmarin.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Menurut Tengku Abdullah, sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini seluruh masyarakat Islam perlu kembali bersatu padu dan mengukuhkan lagi silaturahim.
Titah baginda, kesatuan yang kukuh sahaja akan dapat menjamin masa depan umat Islam di negara ini supaya tidak mudah ditindas oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, Tengku Abdullah turut mengingatkan umat Islam di negeri ini merebut peluang dalam skim pelaburan akhirat sempena pelancaran Dana Wakaf oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), hari ini.
Katanya, penyertaan dalam skim tersebut merupakan satu ibadat bagi membantu golongan memerlukan yang sekali gus yang mampu memberikan kebajikan pahala berterusan kepada peserta.
“Dana wakaf ini bertujuan menggalakkan kita semua mewakafkan sedikit atau satu bahagian daripada pendapatan atau harta kita yang mana wakaf ini akan digunakan untuk pembangunan ummah dan membantu golongan memerlukan.
“Dana wakaf ini juga disalurkan pada program seperti aktiviti pendidikan, pembelian hartanah, pembangunan tanah wakaf sedia ada, pembinaan bangunan masjid dan surau, perubatan serta aktiviti lain,” katanya.

0 comments:
Post a Comment