SHAH ALAM - Tiada satu pun peruntukan Perlembagaan yang menghalang ahli Parlimen daripada memegang dua jawatan dalam satu masa, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan.
Demikian kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak sambil menegaskan amalan itu diterima sejak 22 tahun lalu.
"Kita tidak boleh kata salah kerana tiada peraturan dalam Perlembagaan negara pun tidak menyebut perkara ini tidak boleh (diamalkan).
"Kita tengok Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah memangku menteri kewangan sebelum diserahkan kepada orang lain, begitu juga di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, ini menunjukkan amalan itu diterima dan diamalkan, meskipun di luar negara ia diasingkan," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Transparency International Malaysia (TI-M) agar jawatan perdana menteri dan menteri kewangan perlu dipegang individu berbeza susulan isu urusniaga jual beli tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) yang meragukan.
Mengulas lanjut, beliau berkata lagi, persoalan sama ada memegang jawatan lebih dari itu baik atau sebaliknya terpulang kepada interpretasi semua pihak.
"Cuma dari segi amalannya berbeza-beza, terserah kepada keperluan masing-masing, kalau tidak dipegang oleh orang sama pun, kalau hendak berlaku sesuatu pun, ia tetap berlaku juga," ujarnya.
Ditanya amalan itu akan menjejaskan fokus pemimpin negara itu dalam menjalankan tanggungjawabnya, beliau bagaimanapun berkata Datuk Seri Najib Tun Razak dibantu menteri kewangan kedua yang boleh mengendalikan kementerian terbabit.
"Pada masa ini pun perdana menteri ada menteri kedua yang akan menjalankan tugas-tugas (menteri kewangan) dengan lebih terperinci," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment