Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 12, 2015

TIADA LAPORAN KES CURI PISANG

Tiada laporan kes curi pisang



SABAK BERNAM – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam mengesahkan tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk berhubung kes kecurian pisang sepanjang tahun ini di kebun dan tepi jalan rizab kerajaan di Kampung Tebuk Pulai.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, hanya terdapat satu kes kecurian pisang dilaporkan berlaku pada Januari lalu, tetapi tidak membabitkan kampung berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memandang serius perkara itu termasuk mengerah Unit Kereta Peronda Polis (MPV) menjalankan rondaan di kawasan itu selain mewujudkan satu pasukan gerakan khas (Task Force) yang diketuai seorang pegawai bagi menangani masalah berkenaan.

“Pasukan MPV juga diarah menjalankan rondaan lebih kerap di kawasan itu dan beberapa kawasan lain bagi memastikan beberapa kawasan yang dilaporkan berlaku kegiatan ini bebas daripada jenayah berkenaan,” katanya.

Nor Azmi berkata, pihaknya turut meminta kerjasama masyarakat terutama pengusaha tanaman pisang dan hasil pertanian lain segera melaporkan perkara berkenaan kepada polis bagi tindakan dan siasatan lanjut.

“Jangan diamkan saja apabila terdapat kes kecurian hasil pertanian. Orang awam berhak melaporkan perkara ini kepada pengetahuan polis agar kami dapat bertindak sebaik menerima aduan dan maklumat,” katanya.

Malah, katanya, orang awam juga mempunyai kuasa menangkap sekiranya mereka ternampak suspek mencuri pisang di kebun dan kemudiannya menyerahkan suspek kepada polis untuk siasatan.

“Ini selaras dengan peraturan undang-undang mengikut Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593),” katanya.

Katanya, sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak empat kes kecurian pisang dilaporkan dengan kesemua kes itu dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Empat kes kecurian pisang dilaporkan pada September hingga Disember tahun lalu dan kesemua suspek telah didakwa di mahkmah dan dikenakan hukuman yang setimpal atas kesalahan terbabit,” ujarnya.

Sinar Harian 2 Mei lalu melaporkan, penduduk di Kampung Tebuk Pulai di sini, mengeluh berikutan pelbagai jenis pisang yang ditanam di kebun mereka dan tepi rizab kerajaan sering menjadi sasaran pencuri kira-kira dua tahun kebelakangan ini.

Penduduk mendakwa, modus operandi kecurian itu disyaki dilakukan antara waktu Asar hingga Maghrib apabila terdapat banyak motosikal tidak dikenali membawa pisang keluar dan masuk menggunakan jalan kampung.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya apatah lagi kejadian curi pisang sering dilaporkan berlaku hingga menyebabkan mereka yang bergantung kepada sumber hasil pertanian itu terpaksa menanggung kerugian.




0 comments:

share2