Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 3, 2015

#PRKRompin: KAGUM KEJAYAAN USAHAWAN FELDA KERATONG 1



Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini melahirkan perasaan bangga terhadap usahawan dari Felda Keratong 1 di sini yang berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata kepelbagaian bidang yang diusahakan oleh usahawan itu seperti pembuatan kek, bengkel motosikal dan pusat dandanan rambut membuktikan bahawa kejayaan dalam bidang keusahawanan boleh dicapai walaupun mereka berada dalam kawasan Felda.

"Kita bersyukur kerana penduduk luar bandar telah nikmati pendapatan yang lebih tinggi, Malah di Felda Keratong 1, ramai yang menjadi usahawan sehingga di sini mempunyai pusat perniagaan. 

"Walaupun (pusat perniagaan) kecil, namun mendapat sambutan baik dan sudah pasti sesuatu yang perlu dikembangkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Usahawan dan Masyarakat di Felda Keratong 1 di sini, hari ini.

Beliau turut meluangkan masa melawat beberapa kedai yang diusahakan penduduk Felda Keratong 1 yang tetap membuka perniagaan walaupun pada hari minggu.

Mustapa berkata kementerian itu sentiasa bersedia untuk memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mahu memajukan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi. 

"Walaupun kita tidak mempunyai satu pejabat fizikal di Parlimen Rompin, namun segala urusan kini boleh dilakukan secara dalam talian dan panggilan telefon," katanya. 

Beliau juga berkata bidang keusahawaan sentiasa dekat di hatinya kerana beliau merupakan Menteri Usahawan pertama semasa portfolio itu diwujudkan pada tahun 1995. 

"Saya menjawat jawatan itu sehingga tahun 1999 dan pada tahun 1997, saya memperkenalkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) bagi menggalakkan lebih ramai penduduk terlibat dalam bidang perniagaan," katanya.

0 comments:

share2