Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 15, 2015

PENDUDUK RIMAS SERANGAN RIBUAN LALAT

Penduduk rimas serangan ribuan lalat


KAMPUNG BUNUT – Kehadiran ribuan lalat khususnya di kawasan ini sejak seminggu lalu mendatangkan keresahan dan rasa rimas penduduk yang terpaksa ‘berkawal’ bagi mengelak makanan mereka dihurung serangga berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati lalat terlalu banyak di rumah penduduk di sini sehingga mereka tidak selesa berada di rumah sendiri walaupun telah berusaha mengatasi masalah berkenaan dengan pelbagai cara.


Sudah seminggu berlarutan

Seorang penduduk, Nazian Nasil, 50-an berkata, keadaan berkenaan berlarutan sejak seminggu lalu dan dia turut menerima banyak aduan daripada rakan penduduk yang buntu dengan masalah berkenaan.

Menurutnya, persekitaran berkenaan turut menghantui peniaga kedai makan di sekitar kawasan ini, sekali gus membawa kerugian kepada mereka berikutan pelanggan bimbang untuk mendapatkan makanan yang dijual secara terbuka.

“Masalah serangan lalat di kawasan ini dan sekitar semakin serius dan memerlukan cara yang terbaik daripada pihak bertanggungjawab membantu penduduk di sini membanteras kehadiran serangga kotor ini.

“Penduduk kini terpaksa menggunakan pelbagai cara seperti memasang lilin, meletakkan kertas pelekat terutamanya di meja makan bagi memerangkap lalat yang terlalu banyak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya, di sini.

Dia sendiri menggunakan kertas pelekat setiap hari dan diletakkan di meja bagi menangkap lalat dan mengelak serangga tersebut terus menghurung makanan dan minuman.

“Saya sekeluarga turut melalui masalah sama dan keadaan ini benar-benar mengganggu keselesaan kami yang turut dihurung lalat walaupun ketika berada di ruang tamu.

“Sejak lebih dua minggu lalu, berpuluh-puluh keping kertas pelekat digunakan setiap hari di mana sekeping kertas berkenaan mampu memerangkap sehingga 1000 ekor lalat,” katanya.


Kilang buang najis ayam dekat kampung

Nazian mendakwa, masalah ini berpunca dari sebuah kilang ternak ayam yang terletak berhampiran membuang najis ternakan merata-rata.

Menurutnya, sebelum ini pengurusan najis dan kilang berkenaan keseluruhan amat baik dan tidak menimbulkan sebarang masalah berkaitan.

“Najis ayam jelas nampak dibuang di kawasan ladang sawit berhampiran rumah penduduk sekali gus mengundang masalah berkaitan.

“Jika ia diurus dengan baik seperti sebelum ini sudah pasti masalah sebegini tidak mendatangkan kesulitan kepada kehidupan seharian kami di sini,” katanya.

Dia berkata, jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil akan membawa kepada masalah lain seperti pembawaan penyakit daripada serangga ini seperti taun dan sebagainya.

“Masalah tersebut memerlukan penyelesaian segera di mana pihak berkenaan perlu mengkaji punca dan memberi penyelesaian terbaik bagi mengelak mereka menghadapi situasi yang merimaskan ini.

“Saya amat berharap masalah lalat ini dapat diselesaikan sebelum ia menjadi punca kepada permasalahan lain, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk khususnya di kawasan ini,” katanya.




0 comments:

share2