Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 18, 2015

PANDIKAR TELAH MALUKAN SAYA, KATA TUN M


Tun Dr Mahathir Mohamad.


Putrajaya - ‎Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan dakwaannya sebelum ini yang menyebut beliau akan meletakkan jawatan daripada Parlimen disifatkan memalukannya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berkata pada sidang media‎ selepas pelancaran buku 'Dr Mahathir's Selected Letters to World Leaders', hari ini, Dr Mahathir melihat penafian itu seolah-olah menuduh dirinya menipu.

"Dia memalukan saya dengan berkata dia tak letak jawatan‎ sedangkan dia datang jumpa saya. Bukan saya suruh dia...dia datang jumpa saya. Dia menceritakan tentang perasaan tidak puas hati dengan Datuk Seri Najib dan dia kata dia nak resign (letak jawatan).

"Bahkan dia kata, dia tak jadi Speaker dah. Itu yang dia cerita pada saya. Dia cerita sedikitlah tentang perasaan tak puas hati dia dengan layanan Parlimen terhadap dia sebagai Speaker,” katanya.

Menurutnya, Pandikar sendiri yang memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat meletak jawatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Lepas itu, dia tanya saya apa yang dia perlu buat, saya kata kalau awak nak 'resign'...resign' lah. Saya percaya bahawa dia...dia kata dia bagi surat dah pada Najib kata dia nak letak jawatan‎.

"Jadi, saya cuma ulang apa yang dia kata. Tapi, dia kata (penafian) macam saya ini bohong. Ini tidak baiklah. Malulah saya," katanya.

Sebelum ini‎, Pandikar menafikan laporan berita yang mendakwa Dr Mahathir mengatakan beliau telah menemuinya dan memaklumkan telah meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Pada program di Ipoh malam Sabtu lalu, Dr Mahathir mendedahkan bahawa Pandikar akan meletak jawatan.

Semalam, Pandikar mengakui ada berjumpa Dr Mahathir tetapi hanya berbincang isu politik dan bukannya mengenai hasratnya untuk berundur.

0 comments:

share2